Ieda Moin gementar beraksi di pentas MLM2021

Ieda Moin
Ieda Moin
A
A
A

SELEPAS beberapa kali menolak pelawaan menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM), penyanyi dan pelakon Ieda Moin akhirnya akur mengambil peluang tersebut untuk menguji kemampuan diri pada musim baharu program kegemaran ramai itu.

Mengakui diri bukan seorang pelawak, Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, sekadar mahu menimba pengalaman baharu, selain memenuhi permintaan rakan-rakan yang ingin melihat dia beraksi di pentas MLM.

“Sebenarnya sejak tahun 2011 lagi saya dipelawa untuk menyertai MLM, namun ketika itu saya tiada keberanian.

“Beberapa tahun kemudian, saya dipelawa pula menyertai Muzikal Lawak Superstar (MLS) dan saya sekali lagi menolak kerana tahu saya bukan seorang pelawak yang mampu membuat persembahan komedi secara langsung di pentas.

“Komedi bukan bidang saya, namun apabila berkali-kali dipujuk, akhirnya saya terbuka hati menerima pelawaan Azlee Senario dan Acong Sweetchild masuk MLM2021 menerusi kumpulan Otai,” ujarnya kepada SinarPlus.

Berkongsi pengalaman pertama beraksi di pentas MLM2021 yang membuka tirai pada Jumaat lalu, wanita berusia 42 tahun itu tidak menyangka persembahan Otai mendapat pujian juri dan penonton.

“Sebelum melakukan persembahan, saya sangat gementar sehingga langsung tidak bercakap dengan orang lain kerana takut.

“Bila selesai buat persembahan dan dapat komen positif daripada juri, barulah lega sedikit. Bukan bermakna saya dah rasa selesa, cuma gembira apabila semua berlaku seperti yang dirancang.

“Terima kasih kepada Azlee dan Acong yang banyak bagi tunjuk ajar. Malah rakan-rakan daripada kumpulan lain juga sentiasa beri semangat bila tengok saya takut nak buat persembahan,” katanya.

Aksi latah spontan

Selain persembahan bersahaja, aksi latah Ieda turut mencuri perhatian dan dianggap sebagai elemen komedi spontan yang memberi kelebihan pada dirinya.

Bagaimanapun, pelakon filem Kampung Latah Kena Kurantin itu mengakui risau jika aksi tersebut berlaku secara berlebihan ketika di pentas.

“Saya sebenarnya risau kalau orang fikir aksi latah itu sahajalah modal saya untuk melawak. Latah itu berlaku secara spontan dan tidak dirancang.

“Orang tak tahu betapa saya risau jika melatah berlebihan sehingga melakukan atau menyebut sesuatu yang tidak sepatutnya dalam program yang disiarkan secara langsung di TV itu.

“Saya tidaklah serius sangat melatah, namun ia menjadi antara cabaran di pentas MLM2021,” akuinya.

Dalam perkembangan lain, Ieda kini sedang sibuk di set penggambaran drama baharu lakonannya.

“Saya bersyukur sejak dua tahun lalu, rezeki dalam bidang lakonan sangat murah. Selepas drama, program komedi dan filem disiarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini bersambung pula dengan MLM2021.

“Terbaru saya baru sahaja selesai penggambaran drama Lelaki Pendosa, sementara Oh My Hantaran pula masih dalam pembikinan,” akhirinya.

(FOTO: Hazelnart Studio)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca