DIBERI kepercayaan untuk menyempurnakan single terakhir yang sepatutnya dinyanyikan oleh Allahyarham Siti Sarah Raisuddin merupakan tanggungjawab yang cukup berat buat Nikki Palikat.

Akui Naib Juara Gegar Vaganza musim ke-8 itu, restu daripada suami arwah, Shuib, menjadi antara pendorong semangat buatnya untuk menyanyikan lagu Sudah ciptaan sepenuhnya oleh Naim Daniel itu.

“Betul, saya rasa satu tanggungjawab berat sebab ini lagu terakhir yang arwah nyanyikan. Demo dah ada, tinggal nak masuk studio, masuk vokal je tetapi tak ada rezeki untuk arwah.

“Bila saya dapat lagu ini dan Shuib pun merestui, saya teruskan. Cuma saya tidak sampaikan untuk tayang vokal semata-mata.

“Sebagai anak teater, saya banyak buat eksperimen dengan ikat tangan, bungkus diri dalam comforter sambil menyanyi untuk lihat hasilnya macam mana,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran lagu itu di Red Box The Garden pada Jumaat.

Tambah Nikki, bagi memberi penghayatan yang berkesan, dia cuba memahami dan menyelami setiap bait-bait lirik Sudah.

“Lagu ini mengenai orang yang sudah putus harapan. Jadi saya cuba sampaikan bagaimana cara orang yang sudah putus harapan ini sehingga tak ada tenaga untuk bercakap. Jadi nadanya pun berbeza.

“Saya harap perasaan yang cuba terjemahkan dalam lagu ini sampai kepada pendengar,” jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, Nikki tidak menafikan terpaksa menghentikan seketika penggambaran muzik video lagu ini kerana tidak dapat menahan perasaan sebak.

“Disebabkan saya faham sangat dengan jalan cerita di sebalik lagu ini, saya terpaksa minta pihak produksi hentikan seketika penggambaran.

Iklan

“Saya juga sudah memohon maaf kepada pihak produksi kerana tidak dapat menahan emosi pada satu babak yang pada saya cukup menusuk perasaan,” katanya.

Lagu Sudah sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital mulai 25 Mac 2022. Manakala muzik video boleh ditonton menerusi YouTube Indigital Music.