PETRONAS telah melancarkan Webfilm Hari Kebangsaan dan Malaysia terbarunya yang bertajuk Operasi Koperasi, sebuah kisah animasi yang diilhamkan oleh permainan kanak-kanak Malaysia, ‘lawan pemadam’.

Operasi Koperasi ini mengambil latar di sebuah koperasi sekolah, dibintangi 14 pelbagai watak dalam bentuk pemadam bergambar bendera negeri.

Operasi Koperasi adalah terjemahan idea yang mencerminkan tema Kempen Perayaan 2020 Petronas iaitu Keluarga Unik Kami.

Penonton akan menyaksikan 14 pemadam itu bercakap dalam dialek dari 14 negeri yang berbeza, disuarakan oleh bakat yang berasal dari negeri masing-masing.

Webfilm yang penuh aksi ini pada akhirnya meraikan kebersamaan dan sebagai peringatan bahawa kita dapat mengatasi halangan sekiranya kita bersatu.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah (Liza) Abdul Rahman berkata, Webfilm itu adalah cerminan sebenar perjuangan Malaysia melawan wabak Covid-19 dan sikap satu padu rakyat Malaysia sepanjang situasi getir itu.

“Misi kami dengan Operasi Koperasi adalah untuk memberi kegembiraan kepada rakyat Malaysia sambil menggambarkan kekuatan perpaduan dalam menghadapi kesulitan.

“Tema Operasi Koperasi adalah sebahagian besar diilhamkan oleh kekuatan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia selama beberapa bulan terakhir. Apabila kita menggabungkan kekuatan dan bersatu, kita dapat menghadapi ribut.

“Pertempuran mungkin belum selesai, tetapi telah menunjukkan betapa kuatnya kita ketika kita bersatu,” katanya.

Plot Operasi Koperasi bermula apabila tiga pemadam tidak sengaja jatuh dari tempat perlindungan mereka di atas rak. Keadaan menjadi panik dan pemadam yang tinggal harus membuat keputusan; sama ada mereka perlu kekal? Atau perlukah mereka melakukan misi menyelamat yang kelihatan mustahil?

Iklan

Ketegangan meningkat ketika pemadam terlibat dalam perdebatan yang hangat. Ada yang enggan meninggalkan tempat perlindungan mereka, sementara yang lain ingin mengambil tindakan.

Bagi menghentikan kekecohan, salah ‘seorang’ pemadam telah memberikan ucapannya yang penuh inspirasi agar pemadam lain dapat bersatu dalam situasi genting itu.

Dengan kerjasama berpasukan, 11 pemadam itu berjaya menyelamatkan tiga rakan mereka dan bersatu kembali sebagai 14 pemadam.

Iklan

Bagaimanapun ketika mereka meraikan kejayaan mereka, timbul satu lagi halangan dan 14 pemadam itu perlu bersatu dan bersedia melaluinya.

Webfilm boleh ditonton di saluran YouTube rasmi dan laman Facebook Petronas, sementara iklan TV 60 saat juga akan ditayangkan mulai hari ini hingga 16 September 2020.