TERSENDIRI. Demikian gambaran tepat untuk membicarakan tentang sosok bernama Aina Abdul yang kini semakin mekar namanya dalam industri muzik tanah air.

Bukan sahaja memiliki vokal hebat yang sering mencuri perhatian ramai, tetapi pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani ini juga kerap menjadi bualan disebabkan keberaniannya menggayakan fesyen di luar kotak lebih-lebih lagi melibatkan acara penting di pentas prestij.

Merupakan salah seorang finalis Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam ini, penampilannya pasti paling dinantikan.

Tidak menjadikan perkara tersebut sebagai tekanan, bintang berusia 30 tahun itu sejak awal sudah membuat persiapan rapi dan bersedia memberi kejutan buat peminat dan penonton yang bakal menyaksikan acara gemilang itu.

“Saya juga sebenarnya tidak sabar untuk menggayakan busana ciptaan Melinda Looi itu ketika tampil menyampaikan lagu Terus Hidup nanti.

“Jika tahun lalu Melinda tampil dengan idea busana pokok, kali ini juga ada kejutan yang menanti penonton menerusi penampilan itu, selain persembahan saya sendiri,” ujarnya yang bakal tampil buat kali keempat di pentas AJL.

Biarpun penampilan fesyennya sering mengundang kritikan ramai, malah dilemparkan pelbagai gelaran setiap kali muncul dengan gaya unik dan berani, Aina melihatnya dari sudut positif.

Baginya, setiap apa yang ditampilkan di pentas mempunyai alasan dan tujuannya sendiri. Namun dalam pada keghairahannya memberi impak kepada persembahan, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Sumpah itu mengakui kini lebih bijak dalam bereksperimen.

Berhati-hati

Demi mengelakkan kontroversi, anak kelahiran Negeri Sembilan itu menegaskan beliau lebih berhati-hati agar apa sahaja elemen yang diketengahkan dalam fesyen yang digayakan tidak menyentuh isu-isu sensitif terutamanya berkaitan agama, politik mahupun perkara-perkara melibatkan sensitiviti seorang wanita.

“Dulu saya agak terkesan bila penampilan sering dikritik, malah diberikan pelbagai gelaran oleh netizen terutamanya melibatkan fesyen di pentas AJL. Ketika itu saya mudah jadi moody dan seharian akan fikirkan tentang perkara itu.

“Bagaimana seiring dengan kematangan diri, saya cuba melihat tindakan mereka itu dengan cara yang lebih positif. Malah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, komen-komen mereka itu sangat membantu saya untuk membakar semangat dalam mengejar apa yang saya mahukan sebagai anak seni,” katanya.

Belanja besar

Mengulas tentang kesanggupannya yang sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tampil dengan fesyen-fesyen serba unik di pentas, Aina mengakui ia dilakukan untuk kepuasan dirinya sendiri.

Iklan

Mungkin ramai yang tidak tahu fesyen-fesyen unik yang ditampilkan Aina di pentas melibatkan kos sangat tinggi dan ia adalah daripada poket penyanyi itu sendiri.

Ramai peminat teruja menantikan penampilan fesyen Aina di pentas AJL37 malam ini.

“Saya seorang yang sukakan kesempurnaan dan tidak kisah untuk ‘berhabis’ demi perkara itu, asalkan puas melihat hasilnya. Bukan sebab saya ada banyak duit, tetapi saya mahukan sesuatu yang mampu memberikan impak.

“Sebenarnya saya sangat jarang berbelanja besar untuk diri sendiri, tetapi berbeza dalam soal ini. Saya anggap tempoh karier dalam industri seperti bateri dan tidak tahu tinggal berapa peratus lagi. Jadi saya mahu buat betul-betul dan tidak kisah berbelanja besar untuk tujuan itu.

Iklan

“Berjaya atau tidak itu soal lain. Pernah juga terjadi dalam edisi AJL sebelum ini yang menyaksikan saya melabur dengan kos tertentu, tetapi tidak memberikan impak yang diharapkan. Namun ia masih beri pengalaman dan pelajaran,” katanya mengakhiri perbualan bersama SinarPlus.

(FOTO: TV3)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.