Impian Farisha Iris lebur, lima peserta lelaki mara ke final

A
A
A

PERJALANAN Farisha Iris dalam persaingan merebut kejuaraan Big Stage 2020 berakhir apabila menjadi peserta diumumkan tersingkir pada konsert separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.

Persembahan Farisha, 21, menerusi lagu Semalam nyanyian Aina Abdul untuk segmen solo dan persembahan duet bersama Syamel dengan lagu Ratusan Purnama ternyata kurang memikat hati barisan juri.

Menerusi kutipan markah keseluruhan sebanyak 68.5 peratus (%), Farisha berada di kedudukan tiga tangga terbawah bersama Qody Rany (71.7%) dan Dinie Rashid (66.1%) sebelum diumumkan tersingkir.

Farisha yang ditemui sebaik berakhir konsert memberitahu, dia positif apabila rezekinya di pentas Big Stage terhenti setakat itu sahaja.

"Saya anggap tiada rezeki dan saya sudah cuba buat yang terbaik, walaupun saya rasa ada kekurangan.

"Lagipun jika nak dibandingkan dengan peminat peserta lelaki, saya rasa mereka lebih ada undian yang kuat.

"Bagaimanapun saya tak salah peminat atau pengundi yang tidak mengundi saya.

"Walaupun tersingkir, saya tak kisah kerana saya utamakan kualiti," ujarnya.

FARISHA IRISFarisha (tengah) bersama pengacara Big Stage 2020, Alif Satar dan Sherry Alhadad.

Masalah teknikal

Ditanya mengenai masalah teknikal yang dihadapinya ketika berduet bersama Syamel, Farisha berkata, ia adalah masalah yang tidak boleh dijangka dan dia tidak melihat ia sebagai unsur sabotaj untuk menyingkirkannya.

"Masalah teknikal bukan sesuatu yang boleh dijangka. Saya sedar mikrofon saya tidak berfungsi dengan baik ketika berduet, begitu juga dengan ear monitor saya.

"Tetapi tak mengapalah, saya tak salah sesiapa," jelasnya.

FARISHA-SYAMELFarisha memberitahu dia menyedari masalah teknikal yang tidak dijangka semasa membuat persembahan tugasan pertama bersama Syamel menerusi lagu Ratusan Purnama.

Dalam pada itu, ditanya perancangannya selepas ini, Farisha berkata, dia mahu meneruskan pelajaran dan dalam masa sama masih bergiat aktif di dalam bidang seni.

Tidak terhad ke arah bidang nyanyian semata-mata, Farisha juga mahu mencuba nasib dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

"Kalau ada yang berminat nak ambil saya mengacara atau berlakon, saya bersedia untuk mencuba.

"Selain itu saya mahu mencari identiti genre lagu bagaimana yang sesuai dengan saya. Bila dah menyertai Big Stage baru saya sedar ada genre yang tidak bersesuaian dengan saya," katanya.

Penyingkiran Farisha sekali gus menyaksikan kemaraan Azzam Sham, Usop, Fadh Majid, Qody Rany dan Dinie Rashid di pentas akhir Big Stage 2020 yang bakal berlangsung Ahad depan.

Keputusan tersebut juga menyaksikan buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran Big Stage, kesemua barisan finalis terdiri daripada peserta lelaki.

Peserta yang bertanding apda peringkat separuh akhir itu diadili oleh juri tetap yang terdiri daripada Ajai, Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir. Manakala Datuk Syafinaz Selamat pula bertindak sebagai juri jemputan, selain Elly Mazlein mengisi kerusi Presiden Netizen.

Program yang dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (124) dan Ria HD (104), setiap Ahad, jam 9 malam bermula 16 Ogos lalu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca