IMPIAN Dina Nadzir dan Fuad Rahman untuk ke pentas final Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) minggu hadapan lebur apabila diumumkan tersingkir pada minggu separuh akhir yang berlangsung pada malam Ahad.

Dina yang membawakan lagu solo Bukan Dia Tapi Aku berada di tempat dua terbawah dengan markah 59.20 peratus. Manakala Fuad di tangga terbawah dengan markah 58.30% selepas menyanyikan lagu Di Alam Fana Cintamu.

Dina dan Fuad gagal menarik perhatian tiga juri tetap pada minggu separuh akhir. FOTO : Azrul Rafie (ASTRO)

Bagaimanapun persembahan Dina dan Fuad gagal menarik perhatian barisan tiga juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz selamat.

Selain menyampaikan lagu solo, Dina dan Fuad beradu di pusingan battle menerusi lagu Boneka, nyanyian asal Ernie Zakri.

Penyingkiran Dina dan Fuad sekali gus membuka laluan buat Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, V.E dan Hairul Nizam untuk berentap di pentas akhir pada minggu hadapan.

Pada konsert yang bertemakan Separuh Aku Ada Kamu yang berlangsung di Auditorium MBSA, Jaclyn atau Jac berjaya mendahului tempat pertama dengan markah 84.35% sekali gus memenangi anugerah Bintang Memukau Adabi dan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan barangan Adabi bernilai RM500.

Iklan
Jac dan Shila bakal memberi saingan sengit kepada 4 finalis yang lain.
FOTO : Azrul Rafie (ASTRO)

Sementara Shila di tempat kedua dengan markah 79.20%, diikuti Bob di kedudukan ketiga (78.70%). Tomok, Hairul dan VE masing-masing berada di tempat keempat, kelima dan keenam dengan pungutan markah 75.95%, 75.80% serta 74.30%.

Sementara itu, Anugerah Juara Next Level Digi dimenangi oleh Dina berdasarkan undian peminat menerusi Facebook Astro Gempak dan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Iklan

Shila juga turut memenangi Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak berdasarkan undian tertinggi di Facebook Astro Gempak dan membawa pulang sebuah penapis air Cuckoo bernilai RM4,520.

GV9 yang dikendali Nabil Ahmad dan Elly Mazlein menyaksikan persaingan sengit enam finalis untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 untuk juara, naib juara pula akan meraih RM50,000, tempat ketiga akan menerima RM30,000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.