TILMIZ Saifullah dan Tilmizah Nazirah tidak dapat menahan air mata apabila diumumkan tersingkir pada peringkat separuh akhir program Akademi Qurra’ terbitan TV Alhijrah, Sabtu lalu.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan lima peserta lain iaitu Tilmizah Maghfirah, Tilmiz Akasyah, Tilmizah Nooraini, Tilmiz Zuhdi dan Tilmiz Fahmi mara ke pentas akhir.

Biarpun sedih terpaksa meninggalkan Akademi Qurra’, Tilmizah Nazirah, 24, atau nama sebenarnya Nurnazhirah Shaharudin tetap akur dengan keputusan juri.

“Alhamdulillah, saya dapat peluang hingga ke peringkat separuh akhir, apatah lagi sebelum ini banyak kali di kedudukan bawah. Sejujurnya, saya sudah buat yang terbaik. Saya fikir, kalau tersingkir tidak mengapa kerana sudah usahakan yang terbaik.

“Saya menitiskan air mata kerana terlalu sedih tinggalkan Akademi Qurra’, tetapi dalam masa sama bersyukur kerana dalam kumpulan tinggal saya dan Fahmi saja. Saya memang berdoa supaya dia dapat ke akhir, Potensi dia tinggi dan lebih besar.

“Bila ada kesilapan, saya berasakan peluang ke akhir tipis dan akur dengan keputusan juri. Sebenarnya saya tak jangka akan terpilih menyertai program ini hingga peringkat ke separuh akhir,” katanya yang mengakui banyak belajar perkara baharu sepanjang menyertai Akademi Qurra’.

Sementara itu, Tilmiz Saifullah, 19, atau nama sebenarnya Saifullah Khanip Rofli pula mengakui berasa sedih kerana gagal menunaikan impian ibunya.

“Dari awal lagi saya memang menyasarkan kekal hingga ke pentas akhir. Kedua ibu bapa dan rakan-rakan pun meletakkan harapan besar.

“Jadi, apabila tersingkir pada peringkat ini, saya tak dapat menahan air mata. Saya beranggapan gagal tunaikan janji pada mak,” katanya selepas diumumkan tersingkir.

Kesalahan bacaan

Dalam pada itu, Tilmizah Maghfirah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Alunan Terindah pada minggu separuh akhir ini.

Barisan peserta yang mara ke pentas akhir Akademi Qurra’ pada 18 Mac ini.

Mengulas tentang penyikiran yang dilakukan, Ketua Juri, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman berkata, pihak juri tidak boleh berkompromi soal kesalahan bacaan.

Iklan

“Antara tujuh peserta, saya sudah ada gambaran tentang perkembangan mereka. Misalnya Saifullah dan Nazirah, taranum mereka agak bahaya, tapi bila dua kesalahan besar dibuat tanpa sengaja dan sedar oleh Saifullah, ia menguji amanah saya pada al-Quran.

“Bila tanya pada kedua-dua juri, mereka seolah-olah kejutkan saya yang mana satu kesalahan besar apabila membaca dengan kesalahan huruf. Kesalahan sebegini tak boleh dimaafkan,” katanya.

Kesemua peserta diadili barisan juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan.

Sementara Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin.

Iklan

Pentas akhir Akademi Qurra’ yang dihoskan oleh Fakhrul UNIC bakal bersiaran pada 18 Mac ini, jam 9 malam di TV AlHijrah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.