HAMPIR setahun tidak muncul dengan lagu baharu, Indah Ruhaila akhirnya mampu menarik nafas lega apabila lagu baharunya, All My Heart mula menemui peminat minggu lalu.

Bagaikan satu langkah baharu, pastinya dia mengharapkan buah tangan kali ini mampu diterima dengan baik oleh semua.

Meletakkan harapan yang besar kepada lagu hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Strawbery itu, Indah mengakui teruja menantikan maklum balas daripada peminat memandangkan ini merupakan kali pertama dia menyanyikan lagu balada hasil ciptaan komposer berpengalaman itu.

“Memang saya teruja dan dalam masa sama gementar menantikan maklum balas daripada peminat.

“Selama ini orang mengenali Indah Ruhaila dengan lagu-lagu bersifat dark namun kali ini sedikit berbeza.

“Sebagai penyanyi, saya berharap karya kali ini mampu memberikan sesuatu yang baharu dan segar kepada peminat memandangkan ia bersifat easy listening dan mudah diterima meskipun kali pertama mendengarnya,” ujar beliau.

Tambah Indah, All My Heart merupakan sebuah lagu yang sangat menarik perhatiannya saat kali pertama diberikan demo (sampel muzik) oleh Ajai beberapa bulan yang lalu.

Kisah tentang sebuah pengharapan dalam satu perhubungan dijadikan asas kepada lirik yang ditulis dan Indah menganggap sesiapa sahaja perlu berusaha keras untuk mengukuhkan sesebuah perhubungan.

“Saya masih ingat lagi kali pertama mahu bekerjasama dengan abang Ajai. Dia ada memberikan dua pilihan lagu tetapi saya lebih tertarik dengan lagu All My Heart ini meskipun satu lagi naskhah lagu tak kurang hebatnya.

Iklan

“Mungkin kerana melodi yang mudah didengar dan lirik yang lebih straight forward membuatkan saya terus bersetuju.

“Semuanya berjalan lancar dan saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka,” jelasnya.

Bantuan Ajai

Berkongsi tentang proses rakaman, Indah berkata, Ajai banyak memberikan tunjuk ajar dan pelbagai ilmu baharu kepadanya sepanjang proses rakaman dan itu sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepadanya.

Iklan

Sepanjang proses rakaman juga, Indah banyak memberikan input baharu bagi ‘mencantikkan’ lagi proses rakaman sesuai dengan dirinya seterusnya menyempurnakan All My Heart seperti mana yang dirancang.

“Besar harapan saya untuk lagu ini terus mendapat tempat sebaik sahaja dilancarkan hari ini. Harapnya peminat suka dan terus memberikan sokongan kepada saya sampai bila-bila,” tuturnya.

All My Heart dilancarkan secara rasmi pada 12 Ogos 2022. Muzik video pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music bermula jam 3 petang. Lagu ini merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music.