DI sebalik kemenangannya dalam program Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2) bersama kumpulan Heart, penyanyi Azmi Saat turut berkongsi berita kehamilan isteri tercinta, Nazirah Muhammad.

Menurut Azmi, Nazirah kini sedang hamil empat bulan anak pertama mereka setelah 10 tahun menantikan kehadiran cahaya mata.

“Sebenarnya saya sudah mengetahui isteri hamil sejak dua bulan lalu, cuma saya tidak beritahu kepada sesiapa kerana ketika itu berasa masih terlalu awal.

“Ini pun saya beritahu kepada ahli kumpulan Heart semalam (Khamis) setelah isteri saya dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas,” ujarnya yang ditemui pada sesi sidang media MLS2 pada Sabtu.

Bercerita lanjut mengenai kehamilan isterinya itu, Azmi berkata, ini merupakan kandungan kedua isterinya, setelah mengalami keguguran pada dua tahun lalu.

“Ketika hamil dua tahun lalu, saya memang teruja kerana kami memang dah lama menantikan kehadiran cahaya mata.

“Bagaimanapun selepas dia mengalami keguguran, kami terima dengan hati yang terbuka dan menganggap kami hanya hidup berdua sahaja.

“Bila dapat tahun dia hamil lagi sekali, macam-macam yang saya rasakan. Ada rasa bimbang, ada rasa teruja.

“Namun lama-kelamaan, hanya ada rasa teruja dan tidak sabar untuk menantikan anak kami lahir,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Azmi memberitahu tahun ini cukup bermakna buat dirinya apabila dikurniakan rezeki yang tidak diduga.

Azmi bersama Ezad dan Danial menerusi kumpulan Heart dinobatkan sebagai juara program MLS2 yang berakhir pada Jumaat malam.

Jelasnya, selain bakal mendapat cahaya mata dan memenangi MLS2, dia dan isteri akan akan berpindah ke rumah baharu yang telah dibelinya tidak lama lagi.

Iklan

“Saya anggap ini tahun terbaik saya.

“Di kesempatan ini, saya nak ucapkan kepada Danial dan Ezad kerana mempercayai bakat saya dan memilih saya untuk menyertai kumpulan Heart.

“Walaupun macam-macam orang kata bila mereka pilih saya sebagai ahli kumpulan Heart, namun mereka tetap percaya dengan bakat saya dan akhirnya saya dapat membuktikan saya juga mampu buat macam-macam (melawak dan memghiburkan penonton),” akhiririnya.