MAHU terus berkongsi karya bermanfaat buat pendengar, penyanyi dan komposer lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun kini tampil dengan single baharu berjudul Inni Tawakkaltu.

Menurut Hafiz, lagu ciptaannya sendiri dengan lirik tulisan Ito Lara itu cukup istimewa kerana mengirimkan mesej penting tentang doa yang bukan sahaja untuk dirinya, tetapi buat semua.

“Saya pernah jatuh, merangkak dan bangun kembali. Saya rasa, semua orang pernah alami situasi ini. Kesedihan dan kesusahan yang kita alami tidak selalunya difahami oleh semua orang.

“Jadi, saya harap Inni Tawakkaltu boleh menjadi penguat semangat untuk semua, supaya terus berusaha dan akhirnya berserah serta tawakkal kepada Allah,” ujarnya.

Penghasilan lagu ini dilakukan dengan cukup teliti, bukan sahaja dari aspek penciptaan dan penyampaiannya, tetapi gubahan muziknya juga menggunakan khidmat para pemuzik tempatan dan antarabangsa termasuk iringan orkestra dari Istanbul, Turkiye.

Malah proses adunan dan mastering single ini juga mendapat sentuhan jurutera muzik antarabangsa iaitu Greg Henderson dan Don Bartley dari Australia.

Berbelanja besar

Tidak ada kompromi soal kualiti dalam setiap karya dihasilkan, penyanyi yang pernah meledak dengan penghasilan album Zikir Terapi Diri itu sanggup berbelanja besar untuk tujuan tersebut.

“Inilah kepuasan saya apabila berkarya. Saya berbelanja untuk dapatkan hasil terbaik.

“Single ini menyaksikan gabungan pemuzik profesional dari luar negara dan tempatan yang saya percaya dapat berikan sesuatu untuk pendengar,” katanya.

Menyentuh tentang pembikinan video muzik Inni Tawakkaltu, bekas penyanyi UNIC itu menjalinkan kerjasama dengan rakan lamanya, Rifaiee.

“Alhamdulillah walaupun berdepan kekangan masa, pengambaran video muzik ini berjalan lancar.

“Sebenarnya 12 tahun lalu, Rifaiee dan krew dari RIO Production jugalah yang merakamkan video zikir daripada album Zikir Terapi Diri. Semenjak itu, kami bekerjasama untuk banyak produksi, baik di Malaysia mahupun di luar negara,” jelasnya.

Single Inni Tawakkaltu terbitan Arteffects dan edaran oleh Universal Music Malaysia itu kini boleh didapati di semua platfrom penstriman muzik, manakala video muziknya pula boleh ditonton menerusi YouTube Hafiz Hamidun.

Iklan

Lebih tenang

Dalam perkembangan lain, bintang kelahiran Setiawan, Perak itu mengharapkan tahun 2023 bakal memberikan sesuatu lebih indah buat dirinya.

Bukan sahaja kerjaya, tetapi juga dalam kehidupan peribadinya yang sentiasa mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Pada usia yang menjengah 39 pada tahun ini, saya tidak obses kepada populariti dan dunia glamor. Saya pernah merasainya, alhamdulillah saya tetap bersyukur.

“Apa yang saya inginkan sekarang ialah ketenangan dan perkara-perkara yang tidak merumitkan fikiran. Saya lebih senang menghabiskan masa bersama keluarga terutamanya bersama anak angkat saya, Hamdee yang kini berusia tiga tahun.

Iklan

“Saya kini lebih fokus perkara-perkara yang santai, tidak seperti 20 tahun dahulu ketika mula-mula menjadi artis rakaman,” katanya kini berada di Tanah Suci mengerjakan ibadah umrah.

(FOTO: UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.