SELEPAS hampir setahun menyulam cinta, pelakon Intan Ladyana, 39, dan Harris Alif, 22, akhirnya bergelar pasangan suami isteri dengan sekali lafaz, kira-kira jam 10 pagi, Jumaat.

Pasangan itu disatukan dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur, sehari lebih awal daripada perancangan asal mereka.

Acara akad nikah berkenaan disempurnakan Penolong Pengarah Jawi, Ustaz Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah dan juga wakil wali.

Turut hadir dan menyaksikan penyatuan Harris dan Intan adalah Pendaftar Nikah, Cerai, Ruju’ Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Nasir Abdullah.

Pada majlis itu, Harris menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian. Manakala barangan hantaran iaitu sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki tidak dibawa bersama sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut Harris, majlis pernikahan itu diadakan sehari lebih awal disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ya, mengikut perancangan asal kami memang memilih untuk melangsungkan pernikahan pada 6 Februari sejak tahun lepas, kami ingat menjelang Februari Covid-19 semakin ok.

“Tapi kami hanya mampu merancang, ALLAH SWT jua yang menentukan. Kebetulan pihak JAWI ada kekosongan untuk tarikh 5 Februari, maka kami sepakat untuk bernikah hari ini,” ujarnya dalam sidang media secara atas talian selepas selesai majlis pernikahan mereka.

Berkongsi perasaannya bergelar suami pada usia muda, Harris, 22, mengakui gemuruh pada awalnya dan lega kerana semuanya berjalan dengan lancar.

“Pada mulanya saya tak rasa apa sangat, saya fikir hanya nak lafazkan akad sahaja. Tetapi bila dah duduk di kerusi tadi dan nak bermula majlis saya rasa sangat gementar.

“Saya sedar ia bukan sekadar lafaz sahaja tetapi juga bermula tanggungjawab saya. Sekarang berdua, Insya-ALLAH selepas ini mungkin bertiga, berempat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Intan, 38, turut berkongsi kelegaan dan kegembiraan apabila majlis pernikahan mereka berjalan lancar.

Iklan
Intan dan Harris disatukan sehari lebih awal.

Bagaimanapun ujar pelakon itu, disebabkan situasi semasa, majlis persandingan mereka akan ditangguhkan ke satu tarikh lain selepas Covid-19 benar-benar pulih.

“Betul, disebabkan Covid-19, susah nak rancang semua benda. Nak kata stress sangat tak juga tapi memang susah nak tetapkan satu tarikh.

“Jadi sebab itu kami tunda dulu majlis resepsi dan buat mana yang penting,” ujarnya yang sedia untuk menimang cahaya mata secepat mungkin.

Iklan

Dalam pada itu, ditanya penerimaan keluarga sejak awal lagi, baik Harris mahupun Intan, meluahkan rasa lega apabila perhubungan mereka mendapat restu.

Ujar Harris, keluarganya menerima Intan sejak awal lagi dan begitu juga keluarga Intan.

“Bagi kami apa yang penting adalah restu keluarga. Bila keluarga merestui, itu yang paling gembira buat kami,” jelasnya.

Pasangan itu tidak melihat perbezaan usia 17 tahun sebagai satu masalah, bahkan Intan sendiri merasakan Harris lebih matang daripada usianya.