SEMPENA ulangtahun ke-20, kumpulan nasyid popular, Inteam, bakal mengadakan sebuah konsert istimewa bagi menzahirkan apresiasi kepada seluruh pihak yang telah terlibat dalam membina kejayaan dan sejarah kumpulan Inteam selama ini.

Konsert yang bakal berlangsung pada 12 Disember depan di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor, itu mendapat sokongan dana melalui Geran Dana Kandungan Digital (DKD) yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Inteam yang dianggotai oleh Hazamin, Syahril, Rahim dan Hisyam, mengakui teruja untuk beraksi dalam konsert yang bertemakan Terima Kasih itu.

Menurut Syahril, konsert yang dihoskan oleh Suffian (Saujana) dan Dr. Fitri Haris itu akan tonton secara atas talian dan sebahagiannya di lokasi acara berlangsung.

“Konsert ini secara majoritinya akan ditonton melalui atas talian dan kami hanya menyediakan tiket untuk hadir ke lokasi konsert dalam jumlah yang sedikit, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor ditamatkan pada 6 Disember ini.

“Sekiranya PKPB disambung lagi, ia akan menjadi konsert atas talian sepenuhnya” ujar Syahril yang juga merupakan ketua kumpulan Inteam.

Lebih 20 buah lagu hits Inteam sejak tahun 2000 sehingga kini akan disampaikan menerusi konsert berdurasi dua jam setengah itu termasuk Kasih Kekasih, Impian Kasih, Nur Kasih, Rabiatul Adawiyah, Dia dan banyak lagi.

“Kami sangat teruja kerana selain menyampaikan seleksi lagu hit Inteam, kami juga akan berduet dengan senior kami iaitu Hijjaz dan beberapa penyanyi jemputan lain seperti UNIC, Exists, Lah Ahmad dan Zayne.

“Tidak ketinggalan Khai Bahar yang akan tampil berduet dengan kami menerusi lagu Setanggi Syurga iaitu sebuah karya kolaboratif kami baru-baru ini, selain Ikhwan Fattana menerusi satu lagu baharu yang menjadi tema konsert itu nanti,” ujar Rahim.

Mengulas tentang penjualan tiket, kata Hazamin, sehingga kini sambutannya agak menggalakkan.

“Alhamdulillah sehingga kini sejak dilancarkan sudah hampir 500 tiket terjual dan kami menyasarkan untuk menjual sehingga 3000 tiket keseluruhannya atau lebih lagi.

Iklan

“Apa yang memeranjatkan kami, tiket-tiket yang berharga tinggi lebih banyak terjual dan ia mungkin disebabkan barangan cenderahati yang ditawarkan bersama tiket tersebut.

“Bagi menarik penonton dari negara jiran juga, kami akan mengadakan jelajah secara maya melalui aplikasi Zoom bersama peminat dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand pada 27, 28 dan 29 November ini,” katanya.

Mengulas tentang penganjuran konsert ketika pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan tanda reda, Rahim berkata, inilah yang dimaksudkan sebagai konsert norma baharu.

“Selain diadakan secara atas talian, acara di lokasi akan dipastikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakkan fizikal, pendaftaran masuk melalui aplikasi MySejahtera, Sanitasi tempat dan peralatan serta pemeriksaan suhu,” ujarnya.

Iklan

Tiket konsert Terima Kasih Inteam boleh didapati melalui laman web www.inteam.my dengan harga RM10, RM25, RM50, RM100 bagi tiket atas talian dan RM200 bagi tiket di lokasi.

 

(FOTO: Indigital Music)