PENERAJU platform penstriman Asia, iQIYI akan melancarkan siri original tempatan terbaharu berjudul Sorry Naik Lori yang bakal ditayangkan pada 4 November ini.

Siri itu juga akan ditayangkan secara global di platform iQIYI selepas tayangan siri original, Rampas Cintaku yang kini menduduki carta teratas tontonan di iQIYI.

Sorry Naik Lori mengisahkan tentang Khairul, pemandu lori muda yang yang ‘alah’ kepada media sosial, namun isterinya Nadia pula bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang influencer.

Drama romantik komedi itu turut menceritakan pasang surut hubungan dan kehidupan keluarga yang mempunyai dinamik, kepercayaan dan gaya hidup berbeza pada era moden ini.

Tidak hanya itu, naskhah tersebut juga menyentuh mengenai dilema pengorbanan seseorang demi mengejar impian, terutama dalam dunia media sosial yang serba pantas dan mudah tular.

Selain lakonan Nizam Othman dan Ruhainies sebagai teraju utama, Sorry Naik Lori juga menampilkan barisan pelakon seperti, Tajul Arif, Ahmad Saffuan, Nafiz Muaz, Sheila Mambo dan Asha Zainul.

Iklan

Pengurus Besar iQiyi Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam, menyifatkan jalan cerita drama tersebut sebagai dilema perjuangan yang sering dihadapi ramai anak muda Malaysia.

“Kami menghargai visi Tsar Asia, dengan sokongan Universal McCann dalam mencipta jalan cerita menarik yang bukan sahaja ringan tetapi membuka perbincangan tentang usaha mengejar impian dan pengorbanan yang diperlukan untuk merealisasi hasrat itu,” katanya.

Iklan

Saksikan kisah aksi dan suka duka yang akan membawa anda mengenali diri, cinta zaman muda dan usaha mengejar impian.

Sorry Naik Lori akan ditayangkan bermula 4 November 2022 secara eksklusif di aplikasi iQIYI dan iQIYI International, www.iq.com bersama episod baharu yang akan disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu.