SETELAH lebih sedekad bergiat aktif dan membintangi drama dan filem Tamil tempatan, pelakon Irfan Zaini bersyukur apabila akhirnya mendapat peluang untuk mengembangkan lagi kerjayanya dalam pasaran drama Melayu.

Menurut Irfan atau nama lengkapnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini, selepas membintangi drama Akira Khan dan Andai Itu Takdirnya, bakatnya mula mendapat perhatian daripada penerbit dan pengarah drama Melayu.

Sungguhpun merupakan seorang pelakon berpengalaman, bintang berusia 28 tahun itu menganggap dirinya sebagai seorang pelakon baharu dalam kalangan peminat drama Melayu.

“Ketika mula aktif dalam lakonan selepas tamat persekolahan, saya banyak berlakon sebagai pelakon tambahan dalam filem dan drama Melayu. Namu rezeki saya hanya tiba selepas 10 tahun mencuba.

“Bukanlah saya tidak bersyukur dengan pengalaman dalam industri lakonan Tamil tempatan, tetapi sebagai pelakon saya mahu kerjaya lebih berkembang.

“Memang saya seorang pelakon yang berpengalaman, tetapi dalam pasaran Melayu masih banyak yang perlu saya pelajari,” ujarnya.

Ubah penampilan

Tambah Irfan, sebagai pelakon dia bersedia menggubah penampilan demi mempelbagaikan karakter dan tidak mahu terikat dengan satu-satu karakter sahaja.

Bahkan dia sanggup mengubah bentuk dan berat badannya sekiranya menerima watak yang memerlukan dia berbuat demikian.

“Saya sedar daripada rupa saya, mungkin orang lihat saya sesuai untuk karakter antagonis, watak India dan Pakistan sahaja. Bagaimanapun saya enggan dilabel hanya sesuai untuk watak sebegitu sahaja.

Iklan

“Sebagai pelakon saya perlu mempelbagaikan karakter demi menggembangkan lagi kerjaya. Memang sukar tetapi itulah cabaran yang perlu saya hadapi jika mahu kekal lama dan berjaya dalam industri seni ini,” katanya yang popular dalam drama Tamil tempatan.

Irfan bersama barisan pelakon drama Akira Khan.

Demi mencari kepuasan dalam lakonan, Irfan juga sanggup melakukan aksi lagak ngeri sendiri. Malah, dia pernah mengalami luka dan kecederaan ketika membintangi sebuah drama aksi Tamil.

“Sejak kecil saya sudah meminati dunia lakonan, jadi apabila dapat melakukan pekerjaan yang diminati saya akan lakukan sehabis baik.

Iklan

“Tambahan saya suka dengan genre aksi, sebab itu saya tidak kisah untuk melakukan semua babak aksi sendiri, terasa lebih puas,” katanya yang sentiasa komited dalam dunia lakonan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi