PENYANYI Siti Sarah Raisudin tampil membuat permohonan secara terbuka berhubung isu menghina rambut rambut orang asli yang dilakukannya tanpa sengaja menerusi sebuah video promosi shampoo yang tular beberapa hari lalu.

Sarah, 36, mengharapkan permohonan maaf tersebut diterima baik dan tidak diperbesarkan lagi selepas ini.

“Saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya kepada masyarakat Orang Asli.

“Saya amat berharap permohonan maaf saya ini diterima kerana ianya bukanlah sesuatu yang disengajakan.

“Saya mohon isu ini tidak akan diperbesarkan lagi dan kenyataan ini akan menjadi yang pertama dan terakhir daripada saya,” ujar Sarah menerusi sebuah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat pengurusannya, Indigital Music.

Tambah Sarah yang juga isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu itu, selama lebih dua dekad dalam industri seni, dia sedar kedudukannya sebagai selebriti yang sering menjadi perhatian masyarakat.

“Saya sangat mementingkan etika dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuklah setiap posting yang ingin dimuat naik di media sosial. Saya percaya segala perbuatan akan menjadi perhatian masyarakat.

“Namun susulan insiden yang tercetus, ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasi saya sebagai selebriti dan usahawan.

“Di sini, saya ingin jelaskan bahawa saya Siti Sarah Raissuddin tidak pernah terlintas untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, malah menghormati seluruh masyarakat di Malaysia.

Iklan

“Bagaimanapun sebagai manusia kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Justeru saya menerima permohonan maaf yang dibuat Pengarah Syarikat House of Ridz Okumura Sdn Bhd, Ridzo Okumura yang memuat naik video perbualan kami tanpa mendapat keizinan saya terlebih dahulu sehingga menjadi tular,” jelasnya.

Iklan

Terdahulu Sarah menerima kecaman hebat selepas kenyataan yang dibuat menerusi video terbabit dikatakan menghina rambut Orang Asli.

 

(FOTO: Instagram Siti Sarah)