Isyariana damba cabaran baharu, belum fikir soal jodoh

A
A
A

BIARPUN langkah Isyariana dalam bidang seni bermula di pentas nyanyian, rezeki ternyata menyebelahi beliau menerusi dunia lakonan.

Menyedari hakikat itu, pemilik nama lengkap Isyariana Che Azmi, akur dan kini memberi sepenuh jiwanya kepada lapangan itu untuk terus mengembangkan bakat dan membina nama sebagai pelakon.

Sepanjang hampir 10 tahun aktif dalam dunia lakonan, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berpeluang untuk tampil dalam pelbagai genre drama dan menimba pengalaman sebagai anak seni.

Bagaimanapun, akui Isyariana, tawaran menjayakan watak wanita lemah lembut dan teraniayai begitu sinonim dengan diri sehingga kadang-kala menutup peluang untuk cuba karakter berbeza, sekali gus menguji kemampuan lakonannya.

“Kebanyakan tawaran yang diberikan pada saya seringkali melibatkan watak-watak baik, wanita teraniayai, dibuli dan sebagainya. Walaupun lain naskhah dan produksi, tetapi memang karakter sebegitulah yang saya selalu dapat.

“Saya sentiasa cuba berikan yang terbaik dan cari kelainan yang boleh ditonjolkan dalam watak itu untuk memberi lebih warna. Tak mudah, tapi saya cuba kerana saya percaya ada sebab kenapa saya diberikan watak sebegitu,” ujarnya kepada SinarPlus.

Karakter sama

Namun sebagai pelakon, Isyariana yang ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu lakonannya, Isteri Halal, baru-baru ini berkata, semestinya beliau mahu lebih versatil dan mencuba pelbagai jenis karakter lain yang tidak pernah dijayakan sebelum ini.

Meskipun begitu, bintang yang sentiasa merendah diri itu mengakui tidak mahu bersikap terlalu selektif dalam memilih tawaran kerana menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Isyariana (tiga dari kiri) bersama pengarah dan barisan pelakon drama Isteri Halal.

“Selalunya apabila menerima sesuatu tawaran, keutamaanya saya adalah pada skrip dan jalan ceritanya. Kalau semuanya bagus, saya akan mempertimbangkannya walaupun mungkin diberikan karakter yang pernah saya buat sebelum ini.

“Bagaimanapun untuk drama terbaharu lakonan saya, Isteri Halal, saya mendapat cabaran berbeza menerusi watak Adellea. Karakter itu menuntut saya menjadi wanita kuat yang boleh bangkit mempertahankan dirinya daripada dipermainkankan lelaki.

“Saya memang sukakan watak-watak sebegini kerana banyak benda baharu yang boleh diterokai. Seronok bila dicabar melakukan sesuatu yang jarang atau belum pernah saya tampilkan sebelum ini,” kata bekas peserta Akademi Fantasia 2016 itu lagi.

Jodoh

Dalam pada itu, drama 60 episod yang akan memulakan siarannya pada 27 Februari ini, setiap Isnin hingga Jumaat di saluran Astro Ria itu juga bakal menyaksikan dirinya bergandingan dengan Aidit Noh sebagai teraju utama.

Ditanya tidakkah beliau mempunyai kebimbangan dan menetapkan limitasi sendiri apabila digandingkan dengan aktor berstatus suami orang, Isyariana mempunyai jawapannya sendiri.

“Saya setuju kita perlu membina keserasian antara watak yang terlibat, tetapi ia hanya dalam set penggambaran dan bukan di luar set. Saya sentiasa mengingatkan diri tentang perkara itu.

“Apabila berlakon dengan pelakon yang sudah berkahwin, saya dengan sendirinya akan meletakkan limitasi. Malah saya juga akan membahasakan diri sebagai ‘aku dan kau’ biarpun dalam watak kami adalah pasangan kekasih,” tegasnya.

Menyentuh tentang kehidupan peribadinya dan berbicara soal jodoh, Isyariana mengakui masih selesa hidup sendiri.

Wanita berusia 33 tahun itu berkata, disebabkan pengalaman ibu bapanya yang pernah melalui fasa penceraian, ia sedikit sebanyak mempengaruhi prinsipnya dalam mencari pasangan hidup.

“Sejujurnya saya memang takut nak berkahwin kerana pernah melihat pengalaman dan kehidupan ibu bapa saya yang bercerai.

“Saya bukan tak percayakan lelaki, cuma saya susah nak terima dan selalunya akan mengambil masa yang lama untuk mengenali seseorang. Jadi buat masa ini saya memang lebih selesa hidup sendiri.

“Apa-apa pun saya percaya Allah sudah tetapkan jodoh setiap orang. Cuma saya selalu mendoakan agar tidak ditemukan dengan seseorang yang bukan untuk saya,” katanya.

(FOTO: AZRUL RAFIE - ASTRO)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca