TENANG dengan kehidupan yang dilalui kini, bekas penyanyi dangdut era 1990-an Iwan Syahman mengakui sentiasa berusaha untuk kekal istiqamah dan mengabadikan hidup dengan menumpukan kepada kerja-kerja dakwah.

Iwan atau nama sebenarnya Wan Syahman Wan Yunus, 62, tekad untuk tidak mengulangi gaya hidupnya di masa lalu dan menyatakan tujuan hidup kini adalah untuk mencari keredaan ALLAH.

“Kehidupan kita ini bukan lagi macam dulu. Allah beri saya sekali sahaja peluang. Sekiranya saya ulang dan kembali seperti dulu, saya tidak tahu bagaimana keadaan saya.

“Jadi saya berusaha untuk istiqamah agar tidak lagi mengulangi apa yang pernah dilakukan pada masa lalu. Hidup saya sekarang untuk mencari reda Allah. Semua orang juga seperti itu. Antara mereka yakin atau tidak.

“Sudah 12 tahun saya berhijrah dan saya sentiasa berdoa agar dapat kekal istiqamah dalam perjalanan ini, selain meneruskan kerja-kerja dakwah,” ujarnya kepada SinarPlus.

Dalam pada itu, Iwan yang juga merupakan bapa kepada pelakon Oktovia Manrose dan Aprena Manrose itu turut mendedahkan ada menerima permintaan daripada beberapa penyanyi, terutamanya wanita untuk menghasilkan lagu dangdut buat mereka.

Bagaimanapun, penyanyi yang pernah meledak dengan lagu Fantasia Musim Cinta dan Yang Sedang Sedang Saja itu tetap dengan pendirian dan menolak dengan cara baik.

“Saya sekarang lebih terarah kepada lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan dan tidak lagi bawakan muzik dangdut seperti mana sebelum ini. Walaupun suara saya dikatakan masih ada ciri itu, tetapi saya sekarang lebih selesa dengan muzik pop atau Arabic.

“Malah saya juga ada menolak permintaan beberapa penyanyi terutamanya wanita yang mahu saya buat lagu dangdut untuk mereka termasuklah anak saya sendiri.

“Untuk perempuan, suara itu adalah aurat. Jadi saya menolak permintaan itu dengan baik dan dan saya rasa mereka pun faham,” katanya.

Iwan (empat dari kanan) mahu terus fokus lakukan kerja dakwah.

Iwan ditemui pada sidang media Menandatangani MOU Antara Kumpulan Angkasa Mukmin, Hayya Travel & Tours dan Batik Air Malaysia yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Iklan

Penyanyi yang kini selesa mengenakan jubah dan kopiah dalam penampilannya itu turut berkongsi berita bakal bersama tiga lagi rakan artis iaitu Ali XPDC, Dr Sam dan Mel Wings ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah bersama Angkasa Mukmin Sdn Bhd dan Hayya Travel Tours Sdn Bhd.

“Sebenarnya sudah tiga kali saya hasrat saya untuk ke Tanah Suci tidak menjadi kenyataan atas beberapa sebab tertentu. Saya anggap ia belum rezeki.

“Semuanya ALLAH yang tentukan, tidak perlu tanya kenapa. Ada yang dipermudahkan dan dipersulitkan. Mungkin DIA ada ujian untuk saya dan saya terima.

“Alhamdulillah kali ini saya mendapat pelawaan daripada Angkasa Mukmin dan Hayya Travel Tours untuk ke sana bagi mengerjakan umrah. Mudah-mudahan semuanya akan berjalan lancar, insya-ALLAH,” katanya.

Iklan

(FOTO: ROSLI TALIB)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!