J2: J RETRIBUSI mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi filem aksi pertama Malaysia pada tahun ini yang berjaya menembusi pasaran Brunei.

Karya arahan Nazrul Asraff Mahzan dan Nazim Shah yang sebelum ini ditayangkan di platform penstriman Disney+ Hotstar itu mula menemui peminat di pawagam Brunei pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, pihaknya teruja dengan perkembangan terbabit dan mengharapkan agar filem tersebut mendapat sambutan hangat di sana.

“Industri filem dan pawagam kini berhadapan dengan cabaran paling getir di kala pandemik Covid-19 masih berleluasa.

“Ia penting bagi kami menyusun strategi dan mencari peluang untuk terus berhubung dengan penonton, sama ada dalam mahupun luar negara.

“Selepas tayangan J2: J Retribusi di pelantar penstriman Disney+ Hotstar Malaysia pada 1 Jun lalu dan Indonesia pada 2 Julai depan, Brunei menjadi negara pertama menayangkan filem tersebut di lapan buah pawagam di sana,” katanya.

Iklan

J2: J Retribusi yang merupakan sekuel kepada filem J Revolusi (2017) dibintangi Zul Ariffin, Amelia Henderson, Allahyarham Ashraf Sinclair, Datuk Rosyam Nor dan ramai lagi.

Gandingan tersebut diyakini bakal mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat filem aksi di Brunei.

Iklan

Ia mengisahkan tentang Jay Zulkarnain, bekas ketua pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) yang kini menjadi pengawal peribadi kepada usahawan terkenal, Datuk Hashim.

Jay bertanggungjawab menyelamatkan Datuk Hashim dan anaknya, Nadi daripada sekumpulan penjenayah.