Jadikan budaya hadiri kelas vokal - Cikgu Shafi

Cikgu Shafi - SinarPlus
Cikgu Shafi - SinarPlus
A
A
A

NAMA Shafizawati Shariff atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shafi bukanlah asing dalam bidang seni pembelajaran vokal.

Sepanjang lebih dua dekad bergelar jurulatih vokal, pemilik Shafi Vokal Studio itu berjaya melatih ramai penyanyi terkenal tanah air yang mendapatkan khidmatnya seperti Amy Search, Siti Nordiana, Hafiz Suip, Aina Abdul, Haqiem Rusli serta ramai lagi untuk tampil menggunakan vokal mereka dengan lebih baik.

Tidak hanya itu, Shafi juga merupakan guru vokal untuk pelbagai program realiti TV termasuk Akademi Fantasia, Kilauan Emas, Gegar Vaganza dan Big Stage.

Bicara Seni pada minggu ini akan berkongsi pandangan beliau tentang keperluan kelas vokal dalam kalangan penyanyi tanah air.

SINAR PLUS: Ramai membandingkan vokal penyanyi dulu dan barisan BBNU sekarang yang dikatakan jauh berbeza dari segi kualiti vokal. Pandangan anda sebagai guru vokal?

CIKGU SHAFI: Saya tak nafikan kenyataan tersebut kerana penyanyi dulu memang jauh lebih bagus dari segi lontaran vokal, pitching dan sebagainya. Kelebihan itu adalah kerana pada era tersebut, kebanyakan penyanyi lahir daripada proses ujibakat ketat atau menerusi pertandingan nyanyian. Mereka kena lalui proses tersebut untuk tunjukkan bakat. Jadi yang jadi penyanyi ketika itu, memang semua terbaik.

Dari segi rakaman pula, mereka menggunakan analog dan bukan digital. Apabila masuk studio, kesilapan tidak boleh dilakukan kerana ia akan mengganggu proses rakaman. Jadi sebelum masuk studio, perlu buat persediaan rapi dan ia menjadi rutin penting untuk semua penyanyi. Sebab itu mereka bagus.

Berbeza dengan generasi sekarang yang jadi penyanyi menerusi saluran YouTube dan pelbagai medium digital lain. Praktis pun hanya melalui karaoke yang tentunya bukan satu kaedah berkesan berbanding masuk studio. Kalau dia menyanyi biasa, mungkin sedap, tapi bila berada di pentas, frekuensi akan lari dan bunyi jadi sebaliknya. Bukan semua, tapi kebanyakannya.

Bagaimanapun pada saya mudah saja, untuk jadi bagus, seseorang itu kena sentiasa memperbaiki diri dan mendisplinkan diri dalam apa sahaja yang dia lakukan tidak kira dia lahir dari era mana sekali pun.

Kenapa pentingnya seseorang penyanyi untuk mengambil kelas vokal?

Mungkin ramai fikir, kelas vokal itu hanya untuk orang kurang bagus dalam nyanyian sahaja. Hakikatnya kelas vokal bukan hanya untuk perbetulkan vokal semata-semata. Ia meliputi latihan dan persiapan yang pelbagai untuk seseorang penyanyi itu dari segi memperbaiki vokal, membentuk energi, senaman mengeluarkan vokal, emosi dalam lagu dan sebagainya.

Jadi ia penting sebagai persediaan untuk konsert, rakaman lagu atau apa sahaja persembahan yang melibatkan mereka menggunakan suara. Kelas vokal adalah jawapannya kerana ia satu usaha untuk sentiasa menjadi lebih baik.

Sejauh mana anda melihat tahap kesedaran penyanyi memperbaiki mutu vokal mereka dengan mengambil kelas vokal?

Masih rendah. Kalau boleh saya andaikan, mungkin hanya 30 peratus sahaja yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keperluan kelas vokal dan jadikan ia sebagai budaya. Selebihnya hanya datang atas sebab-sebab tertentu sahaja seperti pertandingan dan lain-lain.

Mungkin mereka tidak ada masa kerana terikat dengan komitmen lain, tapi nak jadi bagus, kena rajin dan usaha perlu lebih.

Bolehkah kelas vokal membantu seseorang yang tidak ada bakat dalam nyanyian untuk menyanyi dengan baik?

Boleh, cuma ia mengambil masa yang lama sedikit. Suara adalah tubuh badan kita sendiri. Ia boleh dilatih dan dibentuk. Kalau ada usaha, rajin dan konsisten untuk memperbaiki diri, insya-ALLAH kelas vokal mampu membantu.

Cabaran utama anda sebagai seorang guru vokal?

Cabaran untuk bagi kesedaran tentang pentingnya kelas vokal. Walau hebat macamanapun suara seseorang penyanyi itu, latihan vokal sangat penting dan perlu dilakukan secara konsisten.

Suara adalah anugerah, jadi kena jaga dengan cara yang betul agar ia tidak rosak atau bermasalah.

Harapan anda kepada penyanyi generasi baharu masa kini?

Apa yang saya harapkan agar mereka sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti nyanyian. Bukan hanya pada suara, tetapi juga dari sudut ilmu dalam nyanyian. Sentiasa cari ilmu baharu dan bukan hanya terikat dengan apa yang kita suka sahaja.

Masing-masing mempunyai peminat yang ramai sehingga mencecah jutaan, jadi kena main peranan dengan betul. Tampilkan nyanyian berkualiti, sekali gus menyumbang sesuatu yang bagus untuk industri seni suara di masa depan.

 

(FOTO: Instagram Cikgu Shafi)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca