PENYANYI legenda Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita yang mewakili artis generasi baharu saling menyokong untuk menaikkan lagu Irama Malaysia.

Selepas diterima ramai menerusi lagu duet Belenggu Rindu dan Kucuma, keserasian dua penyanyi yang mempunyai golongan peminat daripada generasi berbeza ini diteruskan dengan single terbaharu mereka yang berjudul Bakawali, terbitan FMC Music.

Bakawali yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh Siti Nordiana dan Syura itu diberi nafas dan susunan muzik baharu bersesuaian dengan kehendak muzik masa kini.

Menurut Jamal, 63, lagu rakaman semula itu memberi cabaran tersendiri buat dirinya yang mengharapkan agar dapat memberi impak setara dengan penyanyi asalnya.

“Pada awalnya saya agak lambat memberi jawapan apabila ditawarkan oleh FMC Music untuk merakamkan kembali lagu ini kerana bimbang jika tidak dapat mengatasi atau menyamai lagu Bakawali versi asal.

“Bagaimanapun apabila difikirkan semula, versi kali ini agak berbeza kerana rakaman terdahulu menampilkan duet dua penyanyi wanita, sedangkan yang terbaharu ini menyaksikan gandingan saya bersama Wany Hasrita.

“Saya cuba gunakan kebolehan dan kelebihan yang ada pada saya untuk mewarnai lagu ini sebaik mungkin, selain mengambil cabaran tersebut dengan tekad untuk memberikan hasil terbaik dan bukan sekadar buat sahaja,” ujarnya.

Mengulas gandingannya bersama Wany Hasrita, Jamal mengakui penyanyi yang popular dengan lagu Canggung itu mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menyampaikan lagu-lagu Irama Malaysia.

“Saya senang berkerjasama dengan Wany kerana dia seorang penyanyi berbakat dan mempunyai pengetahuan dalam lenggok serta patah lagu langgam mahu pun tradisional.

“Saya juga berhajat merakamkan lebih banyak lagi karya dan ingin menjadikan lagu-lagu duet bersama Wany ini sebagai sebahagian daripada koleksi yang pernah saya rakamkan,” katanya yang sentiasa terbuka bekerjasama dengan artis generasi baharu.

Uji kemampuan

Sementara itu, Wany Hasrita, 30, turut teruja dapat terus bergandingan bersama penyanyi berpengalaman seperti Jamal yang dianggap seperti mentor dalam industri seni.

Iklan

“Saya bersyukur dapat berduet dengan seorang mentor dan juga sifu dalam industri. Datuk Jamal banyak beri tunjuk ajar dan ia memudahkan serta menguatkan semangat saya untuk siapkan lagu Bakawali dengan jayanya.

“Semua orang tahu lagu ini pernah dinyanyikan dengan baik oleh penyanyi asalnya. Jadi apabila dirakamkan semula, tentunya ramai yang tidak sabar nak dengar bagaimana hasilnya adakah lebih baik atau sebaliknya.

“Jadi peluang merakamkan kembali Bakawali merupakan satu cara saya menguji kemampuan diri. Dalam masa sama ia juga sebagai satu cara saya menyumbang dan membantu mengekalkan irama tradisional,” katanya yang cukup menggemari lagu-lagu berentak Melayu dan tradisional.

Iklan

Bakawali versi baharu itu kini boleh didengari di kesemua platform muzik digital termasuk saluran YouTube rasmi FMC Music.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.