Jangan mementingkan diri sendiri - Nasihat Fatin Afeefa untuk geng ‘gelang pink’

Fatin Afeefa
Fatin Afeefa
A
A
A

PELAKON Fatin Afeefa menasihatkan agar orang ramai terutamanya mereka yang baru sahaja pulang dari luar negara untuk lebih bertanggungjawab terhadap diri dan orang sekeliling dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Mengambil contoh dirinya, ibu tunggal kepada dua cahaya mata iaitu Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia itu mengakui menjalani tempoh kuarantin dengan penuh disiplin selepas pulang dari Brazil pada Mac lalu, selain membuat ujian saringan Covid-19.

“Sebaik sahaja tiba di tanah air, saya terus membuat ujian saringan dan kuarantin diri selama 14 hari.

“Biarpun disahkan negatif pada ujian pertama dan kedua, saya masih belum berani berjumpa dengan keluarga dan anak-anak sehingga melakukan ujian kali ketiga untuk lebih yakin bebas daripada Covid-19.

“Hampir sebulan saya menahan diri untuk berjumpa mereka kerana tidak mahu memberi risiko sekiranya apa-apa berlaku pada saya.

“Jadi saya harap mereka yang diarahkan untuk kuarantin oleh kerajaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri sehingga boleh membahayakan nyawa orang lain,” kata Fatin yang kini bergelar duta selipar jenama Havaianas.

Dalam perkembangan lain, Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, 26, berkata, dia baru sahaja kembali ke set penggambaran filem Bisikan yang sebelum ini ditangguhkan kerana PKP.

“Penggambaran filem arahan Opie Zami itu sepatutnya selesai pada Mac lalu, tetapi tertangguh kerana PKP.

“Dalam masa sama, ketika itu saya baru pulang dari Brazil dan perlu menjalani kuarantin dan kebetulan bersambung dengan PKP.

“Jadi pada bulan Ogos ini, barulah kami dapat kembali menyambung penggambaran yang masih berbaki,” katanya.

Menutup rapat kisah kehidupan peribadinya, Fatin bagaimanapun mengakui tidak mempunyai perancangan untuk kembali berumah tangga buat masa ini.

“Saya gembira dengan kehidupan sekarang kerana dapat memberikan lebih tumpuan pada anak-anak dan kerjaya.

“Ramai peminat suruh saya kahwin lagi, tapi semestinya saya takkan lakukan sesuatu semata-mata kerana mahu memuaskan hati orang atau menepis gosip yang melanda,” tegasnya.

 

(FOTO: Instagram Fatin Afeefa)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca