PELAKON dan pengacara, Janna Nick mendedahkan dia telah disahkan mempunyai gangguan bipolar.

Jelas Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, dia sudah pun mendapatkan rawatan dan mengambil ubat antidepresan (Escitalopram) serta Carbamazepine (CBZ) sejak seminggu lalu.

Justeru selebriti berusia 26 tahun itu memilih untuk ‘berehat’ daripada media sosial bagi memberi perhatian kepada dirinya sendiri.

“Sudah seminggu (dan masih akan teruskan) saya mengambil ubat-ubatan anti-kemurungan (Escitalopram) dan Carbamazepine (CBZ).

“Selama ini, saya fikir otak saya berfungsi dengan normal, sama seperti orang lain. Saya memang ingat  semua orang aka nada tiga atau empat suara lain dalam kepala mereka.

“Saya juga fikir ia adalah perkara normal apabila suara-suara tersebut bercakap sesama sendiri dalam kepala seperti membuat perbincangan.

“Sehinggalah saya mula mengambil ubat dan saya sedar, ‘oh begini rupanya orang normal berfikir’.

“Saya tidak tahu apakah itu genetik atau disebabkan masa lalu saya,” dedahnya.

Janna sebelum ini mendedahkan dia mengalami tekanan dan sering mendengar beberapa suara di dalam kepalanya.

Malah suara itu juga sering meminta dia terus bekerja walaupun secara realiti, dia merasa penat dengan jadual kerja yang padat.

Tidak hanya mengakui masalah yang dihadapinya, Janna turut mendedahkan dia pernah cuba membunuh diri sebanyak dua kali sepanjang hidupnya.

Iklan

Malah dia juga merasa ingin mati pada usia 8 tahun.

“Masa kanak-kanak saya tak sama seperti kawan-kawan lain. Sepak terajang memang makanan saya. Saya pernah nak bunuh diri ketika usia saya 14 tahun dengan menelan segenggam panadol dan beberapa ubat yang saya jumpa di rumah.

“Saya tidak mempunyai keluarga yang sempurna. Dulu, duduk dekat asrama, jauh. Setiap kali hujung minggu, tengok ibu bapa kawan-kawan datang melawat, bawa makanan untuk mereka. Saya? Perhatikan sahaja melalui tingkap.

Iklan

“Cubaan membunuh diri kedua berlaku setahun kemudian. Tahun saya menduduki PMR, saya cuba memotong lengan saya depan adik saya,” katanya.

Sementara itu, ruangan komen Instagram Janna turut dipenuhi dengan kata-kata semangat daripada rakan artis.