DOKUMENTARI Islamik, Jejak Rasul menjadi teman setia rakyat Malaysia setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Menampilkan Ahmad Fedtri Yahya sebagai perantara, edisi ke 27 ini, Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah.

Baru saja bersiaran selama 2 minggu, krew produksi Jejak Rasul 2021 (JR2021) telah menerima berita baik apabila episod 6 mencapai 2.2 juta penonton semasa bersiaran pada 18 April lalu (sumber: Nielsen Malaysia).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, pihaknya bersyukur apabila JR2021 mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sejak minggu pertama bersiaran dengan 1.2 juta penonton (episod 3).

“Walaupun tidak dapat menjalankan penggambaran di Mekah dan Palestin seperti dirancang, saya kagum dengan komitmen dan dedikasi produksi JR2021 yang berusaha dan berkarya dengan kreatif dalam menyempurnakan edisi tahun ini.

“Penonton kami tetap dapat menyaksikan naratif dan videografi yang cantik ketika menjejak peninggalan sejarah Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul yang diterbitkan bersama oleh Muhamad Amin Yusoff dan Ahmad Fedtri Yahya membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah.

Sesi penggambaran yang dilakukan selama 41 hari di 7 negeri membawa para penonton menjejak peninggalan sejarah di Malaysia.

Iklan

Lokasi Tanah Melayu yang strategik menjadi laluan utama pedagang sutera menghubungkan dunia Timur dan Barat, dengan pelabuhan-pelabuhan di daerah pesisir Tanah Melayu dipercayai menjadi pintu masuk alim ulama.

Episod 6 yang bersiaran pada 18 April 2021 mencari jawapan benarkah sebuah wilayah Islam telah wujud di Melaka sebelum kehadiran Parameswara. Adakah benar Kesultanan Melaka terbentuk hasil dakwah alim ulama asing?