PENYANYI Joey Bumi Putra Rockers (BPR) meluahkan rasa syukur apabila ada individu yang sudi memberinya wang bagi membayar kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Sabtu lalu.

Menurut Joey atau nama sebenarnya, Johari Mat Rozekhi, 57, individu tidak dikenali itu menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp selepas terbaca perkongsiannya dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka dan mencatat nama ketika memasuki sebuah kedai serbaneka di Ukay Perdana, Ampang.

“Saya dah cakap, ALLAH SWT sentiasa memerhati. DIA lah yang menggerakkan hati nurani kita.

“Kalau kita baik dengan orang, orang akan baik dengan kita. Saya tidak pernah mengemis atau meminta duit daripada orang lain.

“Tetapi kalau orang nak beri, saya ambil. Mujurlah, dalam dunia yang pernuh dengan kerakusan, masih ada yang mengasihani.

“Sebab itu saya berdoa, ALLAH SWT selamatkan Malaysia,” tulisnya beserta gambar mesej individu berkenaan menerusi Facebook miliknya.

Iklan
Gambar kiri : Kompaun yang diterima Joey.
Gambar kanan : Mesej daripada individu yang memberi Joey wang bagi membayar kompaun.

Sementara itu, dalam temu bualnya bersama Harian Metro, Joey mengakui kesilapannya dalam mengambil ringan soal keselamatan diri sendiri.

Iklan

Menyifatkan sudah mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku, Joey turut bersyukur kerana hanya dikenakan kompaun dan bukannya dijangkiti Covid-19.

“Saya bersyukur didenda RM1,000 daripada dijangkiti Covid-19. Dalam masa sama membayangkan kematian serta kesakitan yang bakal dihadapi. Jangan main-main, rakyat kena sedar bahaya yang kita semua hadapi,” ujarnya.