SEJAK tampil buat pertama kali pada tahun 2014, francais filem aksi John Wick berjaya mencuri perhatian ramai, malah konsisten meraih sambutan positif penonton dalam tiap sekuelnya.

Tidak hairanlah kemunculan sekuel terbaharunya, John Wick: Chapter 4 amat dinantikan ramai, sekali gus meletakkan jangkaan tinggi terhadap naskhah arahan Chad Stahelski itu.

Edisi kali ini mengisahkan tentang John yang cuba untuk membalas dendam selepas dikhianati, Winston Scott pada sekuel terdahulu.

Dalam masa sama, John juga perlu melepaskan diri daripada cengkaman organisasi High Table untuk hidup lebih bebas selepas bertahun berdepan pelbagai ancaman daripada pembunuh upahan seluruh dunia, termasuk sahabatnya sendiri.

John Wick: Chapter 4 ternyata memberi kepuasan maksimum kepada penggemar filem aksi apabila tampil menyajikan hampir 90 peratus babak aksi tanpa henti.

Aksi menarik Keanu Reeves dalam John Wick: Chapter 4.

Ia merangkumi pertarungan fizikal, senjata, kejar-mengejar kereta dan pelbagai adegan yang mampu membuat penonton tidak senang duduk seawal babak pertama.

Sekuel kali ini juga menampilkan lebih banyak jenis senjata yang digunakan oleh karakter terlibat seperti pedang, nunchaku, panah dan lain-lain.

Menyerlah

Sepanjang hampir tiga jam, filem ini langsung tidak memberi ruang kepada penonton untuk bertenang seketika, sebaliknya sarat menyajikan aksi tegang dan mendebarkan. Banyak adegan ikonik yang akan diingati penonton selepas tontonan.

Selaku pengarah yang sememangnya dekat dengan genre sebegitu, Chad Stahelski bijak menggunakan kreativitinya dalam menggarap filem ini.

Donnie Yen tampil dengan aksi yang cukup menyerlah dan berjaya mencuri perhatian penonton.

Setiap babak aksi yang ditampilkan dirancang dengan teliti dari aspek pergerakan atau koreografinya sehingga memberikan hasil yang cukup padu. Apatah lagi dengan kerja kamera mantap, selain suntingan tepat yang berjaya memberi visual terbaik.

Meskipun jalan ceritanya masih berpaksi pada inti yang sama tentang perjuangan John membebaskan diri, tetapi paparan aksi sekuel kali ini sangat berbeza.

Cuma tidak dinafikan ada antara babak aksinya dilihat agak berlebih-lebihan dari segi logiknya sehingga ada yang melihat seperti wujudnya elemen filem Tamil dalam filem ini. John Wick digambarkan begitu kebal dan tidak tumbang meski apapun ancaman yang datang.

Iklan

Selain tumpuan kepada teraju utamanya, sekuel kali ini juga menampilkan beberapa karakter baharu yang berjaya mencuri tumpuan ramai. Bukan sekadar pelengkap, tetapi watak-watak yang dihadirkan itu memberi impak tersendiri selain diiangati penonton.

Salah satunya adalah watak Caine yang dimainkan oleh aktor Hong Kong, Donnie Yen yang sememangnya dikenali dengan kehebatannya dalam lakonan aksi pertarungan. LakonanDonnie Yen sangat menyerlah, malah auranya dalam melakonkan adegan pertarungan memang diakui ramai.

Secara keseluruhannya, John Wick: Chapter 4 adalah filem aksi wajib tonton. Sebuah naskhah yang mampu memberi kepuasan kepda penggemar filem dari genre ini.

Iklan

John Wick: Chapter 4
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 18
Genre: Aksi
Durasi: 2 jam 49 minit
Pengarah: Chad Stahelski
Pelakon: Keanu Reeves, Donnie Yen, Ian McShane, Hiroyuki Sanada, Shamier Anderson, Laurence Fishburne
Edaran: Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan: 23 Mac 2023

(FOTO: WARNER BROS. PICTURES)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.