Jujur dalam karya, Yonnyboii bercerita tentang diri sendiri
BAKATNYA bukan hanya diterima sebagai penyanyi, tetapi karya-karya ciptaannya juga mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air yang menganggap dirinya sebagai bakat baharu berpotensi besar menyumbang kepada industri.
Selepas beberapa singlenya berjaya mengungguli carta muzik tempatan, Yonnyboii atau nama penuhnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, melakar sejarah tersendiri apabila tampil dengan sebuah album E.P berjudul Yonny.
Tampil dengan sembilan buah lagu, album itu terisi dengan lontaran vokal penuh emosi yang memberi warna kepada cerita dalam setiap lagu.
Menurut Yonny, kemunculan album E.P itu sebagai hadiah buat peminat, sekali gus merupakan karya pengenalan dirinya kepada khalayak umum tentang siapakah Yonnyboii sebenar.
“Menerusi album E.P ini saya mengambil kesempatan memperkenalkan diri saya sebenar dengan menyatakan kejujuran pada setiap lenggok melodi serta pengisian lirik yang terkandung menerusi lagu-lagu saya sampaikan,” jelasnya.
Yonny merupakan bintang baharu yang mencatatkan pencapaian dalam sejarah industri hiburan tanah air apabila lagu nyanyian menjadi lagu paling banyak dimainkan menerusi pelantar digital.
Terdahulu single Salahku yang diterbitkan beberapa bulan lalu telah mendapat tontonan lebih tiga juta tontonan di YouTube dan tular di semua pelantar muzik atas talian.
Atas sebab itu, Yonny terus melangkah ke depan menghasilkan lagu-lagu berkualiti bersama barisan penerbit yang pernah membantunya sebelum ini.
“Bagi saya, tak susah nak hasilkan album E.P. apabila dapat bekerja secara profesional dengan orang yang kita percayai.
“Terus-terang saya katakan, kalau boleh saya nak buat semuanya sendiri kerana berasa susah apabila kerja-kerja seni saya mendapat sentuhan orang lain.
“Namun selepas pengalaman kejayaan lalu dan kualiti yang ada pada penerbit-penerbit ini, saya rasa tidak salah untuk membina keyakinan dan mencipta semula kejayaan seperti sebelumnya,” jelasnya.
Album E.P Yonny menampilkan enam penerbit yang terdiri daripada Adam E, Freddie Laut, Zachsutton, Vincent88, Mingaling dan Wolfie.
Mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan ketika musim pandemik, 80 peratus karya dalam album E.P itu merupakan lagu-lagu yang pernah dirakamkan tetapi digubah semula dengan sentuhan baharu dan kualiti rakaman luar biasa.
Menariknya album itu juga menampilkan sisi lain Yonny apabila menggarap elemen cinta dalam lagu Sheenta.
“Lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang itu mahu meluahkan perasaan yang dipendam terhadap ‘crush’ dan berusaha untuk menawan hatinya.
“Harapan saya agar pendengar dapat menghayati sendiri setiap karya terhasil untuk mengenali siapa Yonnyboii.
“Setiap lagu terkandung kisah perjalanan hidup saya yang diterjemahkan dalam bentuk muzik, tersusun rapi untuk dikongsi secara eksklusif kepada pendengar-pendengar yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Album E.P Yonny yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia kini boleh didengari semua pelantar muzik bermula 18 Disember lalu.
(FOTO: Universal Music Malaysia)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang