MENINGGALKAN jauh kontroversi yang pernah dikaitkan dengan dirinya sebelum ini, penyanyi dan komposer berbakat besar, Zynakal, kini semakin fokus dengan hala tuju kerjaya seninya.

Selepas beberapa single terdahulu seperti Terbang dan Sakit mendapat sambutan ramai, Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 21, kini tampil dengan buah tangan terbaharu, Perasaan.

Lagu terbitan Warner Music Malaysia itu merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh Zynakal sendiri.

Perasaan adalah satu refleksi emosinya sendiri yang bercerita tentang apa yang tersirat di hati ketika berdepan detik-detik sukar dalam hidup.

“Daripada dulu, muzik menjadi wadah untuk saya meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Lagu ini cuba menyelami perasaan mereka yang dalam kesedihan, namun perasaan mereka itu diperlekehkan atau dinafikan,” katanya.

Tambah Zynakal, karya tersebut juga berkongsi tentang kekesalannya tentang sikap manusia yang suka mengadili tanpa mengenali dan memahami dahulu seseorang atau sesuatu keadaan.

“Kadang-kadang kita lupa orang yang kita benci itu pun ada hati dan perasaan juga.

“Jadi berpada-padalah dalam setiap perbuatan kerana kesannya ke atas orang lain kita tidak tahu.

“Itulah yang saya cuba sampaikan melalui lagu Perasaan ini,” jelasnya.

Biarpun masih berduka atas kehilangan ibu tersayang, Allahyarham Zuraidah Ibrahim pada 26 September lalu,
Zynakal cuba bangkit untuk terus memberikan karya terbaiknya.

Iklan

Sehingga kini, single tersebut mendapat reaksi positif dan sambutan yang cukup memberangsangkan daripada peminat muzik tanah air.

Perasaan kini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music.

Dalam perkembagan lain, penyanyi yang juga merupakan anak saudara kepada Zamani Slam itu, berjaya melayakkan diri ke Semi Final Muzik Muzik yang bakal berlangung pada hujung November ini.

Iklan

Penampilan tersebut menerusi lagu Sakit yang juga merupakan kolaboratifnya bersama penyanyi dan juga komposer Yonnyboii.

 

(FOTO: Warner Music Malaysia)