BAKAT  hebatnya sebagai pelakon kanak-kanak sering meninggalkan impak kepada penonton. Bersahaja, tetapi penuh dengan jiwa.

Baik di kaca televisyen (TV) mahupun di layar lebar, Erynne Erynna, sering memberikan aksi terbaik sehingga dia mendapat kepercayaan ramai pengarah dan penerbit untuk bekerjasama.

Malah sehingga kini, pemilik nama sebenar Syazlynne Erynne Abdullah, 24, telah membintangi lebih 40 buah drama termasuk untuk siaran TV di Singapura dan empat filem sebelum senyap seketika dalam
bidang seni sekitar tahun 2016 dan kembali aktif selepas tiga tahun.

Menurut Erynne, ketika itu ada yang menyangka dia hilang kerana sudah tidak berminat dengan dunia lakonan. Hakikatnya pelakon filem Congkak dan Damping Malam itu tidak pernah meninggalkan industri.

“Sebenarnya saya tak pernah tinggalkan industri, cuma biasalah lumrah hidup. Ada masa kita di atas dan ada kalanya di bawah.

“Mungkin ada ketika orang lupa kita kerana bakat baharu pun ramai masuk industri. Bagaimanapun saya tak pernah berputus asa dan sentiasa percaya dengan rezeki ALLAH.

“Jadi ketika itu, saya teruskan hidup seperti biasa dan lakukan aktiviti-aktiviti lain terutamanya travel bersama keluarga. Saya anggap ia peluang untuk berehat sementara menunggu peluang lain datang,” katanya.

Tidak pernah melihat populariti sebagai sesuatu yang harus dikejar, Erynne yang ditemui pada sidang media drama Ali Alia yang diadakan secara maya baru-baru ini lebih selesa jika bakatnya lebih diberikan tumpuan.

Menerusi drama terbaharu lakonannya yang kini hangat bersiaran di Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang itu, Erynne memegang watak sebagai remaja autism bernama Alia, mendapat pujian ramai.

“Alhamdulillah dan saya sangat berterima kasih pada pengarahnya, Heykal Hanafiah yang percaya pada saya untuk membawakan watak Alia, seorang remaja autism.

“Tentunya tidak mudah membawakan karakter ini, tetapi sebagai pelakon kita kena buat persediaan sebaiknya sebelum masuk ke set untuk memastikan dapat memberikan yang terbaik.

“Saya bertuah menjayakan watak Alia kerana dalam masa sama, dapat belajar banyak benda tentang anak istimewa ini secara tidak langsung,” katanya.

Bergelar ibu pada usia muda

Dalam pada itu, Erynne juga mengakui sehingga kini dia masih sinonim dengan watak remaja dan jarang sekali diberikan karakter dewasa kerana terlebih dahulu dikenali sebagai pelakon kanak-kanak, selain bentuk fizikalnya yang kecil.

Iklan

“Jujurnya saya memang jarang sekali diberikan watak dewasa terutamanya watak yang ada suami atau anak walaupun dalam kehidupan sebenar, saya memang sudah berkahwin dan bergelar ibu.

“Mungkin kerana imej pelakon kanak-kanak masih melekat pada diri saya dan bentuk fizikal yang agak kecil serta tidak menampakkan umur sebenar saya.

“Apa pun, saya sentiasa bersedia mengambil cabaran tersebut jika diberikan peluang. Mungkin saya boleh mengubah penampilan diri untuk kelihatan lebih matang menerusi pakaian atau solekan bagi karakter tersebut,” jelasnya.

Tambah Erynne, biarpun industri seni ada pasang surutnya, dia mahu terus aktif dalam lakonan selagi diberikan peluang dan tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon.

“Saya mahu terus berlakon sampai bila-bila. Jika orang masih hargai bakat lakonan saya dan ALLAH bagi rezeki dalam bidang ini, saya akan teruskan,” tegasnya.

Iklan

Berkongsi tentang kehidupannya kini, Erynne mengakui bahagia melayari rumah tangga bersama suami, Afify Sazali sejak dua tahun lalu dan bergelar ibu kepada seorang cahaya mata perempuan.

“Alhamdulillah saya berkahwin pada usia 21 tahun dan sekarang sudah mempunyai seorang anak.

“Kahwin dalam usia muda bukan perkara mudah kerana banyak benda kena belajar dalam kehidupan ini. Fasa perkahwinan adalah berbeza dengan kehidupan kita pada zaman solo di mana banyak tanggungjawab harus digalas.

“Begitu juga apabila sudah bergelar ibu, satu perjalanan di luar jangka. Baru saya faham bagaimana susahnya ibu kita selama ini dan mula menghargai segala pengorbanan mereka,” katanya mengakhiri perbualan.