Kaka Azraff berterima kasih pada Zizan Razak
PERJALANAN Kaka Azraff dalam industri muzik tidak mudah, biarpun dia merupakan anak saudara kepada Ratu Rock, Ella.
Akui Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 32, dia berusaha keras menempatkan diri dan langkah awalnya dibantu rakan seindustri, Zizan Razak.
Pernah merasakan dirinya sebagai penyanyi picisan dalam industri, Kaka akhirnya mampu tersenyum apabila bakatnya semakin mendapat perhatian ramai.
Tidak melupakan individu yang banyak membantu menaikkan namanya dalam industri, Kaka berkata, dia berterima kasih kepada pelawak, penyanyi dan pelakon, Zizan Razak yang memilihnya untuk berduet menerusi lagu Bawa Daku Pergi.
“Selepas AJL35, saya sempat berjumpa Zizan dan kami sama-sama menangis ketika mengimbau cerita kolaboratif pertama kami.
“Saya sangat berterima kasih kepada Zizan sebab dia punca saya berada dalam industri seni dan bantu naikkan nama saya. Dia tidak pernah mendabik dada dengan perkara itu.
“Ketika itu, saya sangat susah sehinggakan nak buat show pun terpaksa mekap guna tester di ‘drugstore’. Tetapi Zizan tak pernah pandang rendah pada saya,” jelasnya.
Selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menerusi kolaboratifnya bersama Noqi dan Loca B membawakan lagu Gila, Kaka kini tampil dengan lagu terbaharunya, Janjiku.
Lagu ciptaan bersama komposer dan penulis lirik MFMF dan Tysha Tiar itu merupakan terjemahan dan inspirasi daripada perjalanannya sebagai isteri serta ibu.
“Janjiku memang sangat personal buat saya sebab ketika membuat keputusan untuk berkahwin, ada suara-suara yang tidak gembira, banyak perkara yang jatuhkan semangat saya dan suami, Adam Azriff.
“Banyak yang kami lalui untuk sampai ke hari ini. Apa yang penting, kami berpegang kepada janji sebelum mendirikan rumah tangga.
“Lagu ini juga ibarat wasiat buat suami dan anak. Sekiranya saya tiada lagi, saya janji akan terus berada dalam kehidupan mereka dan apa yang ingin saya sampaikan, ada dalam lagu ini,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Janjiku di Kotak Hitam, Setia Alam baru-baru ini.
Tambah Kaka, dia juga mahu menjadikan Janjiku sebagai inspirasi kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
“Kalau dah jumpa pasangan sesuai, anda lebih tahu apa yang terbaik dan jangan fikir apa orang lain nak katakan.
“Bila bergaduh, jangan cepat mengalah dan sentiasa ingat kepada janji yang anda berdua buat sebelum berkahwin,” jelasnya.
Istimewanya, Kaka turut menampilkan suaminya dan anak mereka, Aslan, dalam video muzik Janjiku.
“Pada mulanya Adam enggan turut serta. Kemudian saya sengaja buat dia cemburu dengan menunjukkan wajah pelakon lelaki yang akan bergandingan dengan saya, terus dia ubah fikiran.
“Sejak awal, team produksi dah maklumkan akan melibatkan Adam dan Aslan, jadi saya cukup teruja kerana lagu ini adalah mengenai mereka,” katanya.
Tak megah diri
Mengimbau kembali kemenangannya di AJL35 baru-baru ini, Kaka bersyukur ia sedikit sebanyak dapat membanggakan ibu saudaranya.
Membawa emosi sarat dengan pelbagai dugaan yang ditempuh sebelum AJL35 berlangsung, Kaka mengakui lega dapat melepaskan segala kesesakan di atas pentas.
“Banyak dugaan berlaku, lebih-lebih lagi dengan pemergian nenek saya.
“Saya terpaksa tahan segala emosi demi memberi tumpuan kepada AJL35.
“Kemenangan itu seperti menjawab segala persoalan tentang keupayaan saya berada dalam industri seni.
“Alhamdulillah saya akhirnya percaya sudah berusaha keras membawa diri dalam industri dan bukan menumpang nama semata-mata,” ujarnya.
Tambah Kaka, kemenangan itu juga tidak memberi lesen kepadanya bermegah diri.
“Bila menang orang tanya harga, tapi saya dah ingatkan pihak syarikat, jangan naikkan harga saya,” ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang