PENYANYI Ernie Zakri tidak menolak jika ada pihak yang mahu menaja majlis perkahwinannya bersama Syamel yang dijangka berlangsung pada awal tahun depan.

Menurut Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, buat masa ini dia dan Syamel belum melakukan persiapan kerana sibuk dengan kerjaya seni yang kembali rancak selepas PKP.

“Kalau ada yang mahu menaja dan bekerjasama, apa salahnya. Buat masa ini kami  masih buat pertimbangan dan tengok mana yang bersesuaian.

“Sehingga kini kami sebenarnya belum membuat sebarang persiapan kerana banyak perkara yang masih dalam perbincangan lagi termasuk tarikh dan lokasi majlis.

“Tentang tema dan konsep perkahwinan pun saya dan Syamel belum muktamatkan lagi dan masih dalam perancangan.

“Begitu juga soal jemputan kerana kita perlu ambil kira soal SOP dan sebagainya. Apa pun, mohon doakan agar semua perancangan kami untuk majlis itu nanti berjalan lancar,” ujarnya.

Ernie yang ditemui ketika Konsert Lambang Sari Series di Istana Budaya pada Rabu, berkata, selepas mengikat tali pertunangan Syamel, pada 15 Ogos lalu, para peminatnya tidak putus mendoakan yang baik-baik buat mereka.

“Memang ada peminat yang sudah jangka mengenai hubungan saya dengan Syamel sebelum ini, jadi bila kami sudah rasmi bertunang, ramai yang tumpang gembira dan mengirimkan doa.

Iklan

“Ada juga yang beranggapan saya seperti main tarik tali dengan hubungan kami sebelum ini, tapi hakikatnya baik saya mahupun Syamel kurang selesa berkongsi sesuatu yang belum pasti.

“Ketika itu kami masih di tahap awal bercinta dan macam-macam boleh jadi, Sebab itulah kami tidak kongsi apa-apa.

Iklan

“Bukan niat nak mempermainkan orang, cuma kami berdua lebih berhati-hati dan hanya sedia berkongsi apabila tiba masanya,” jelasnya yang diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema merdeka tahun ini, Malaysia Prihatin.

 

(FOTO: Instagram Ernie Zakri & Rosli Talib)