SENARAI 12 lagu yang layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-35, telah pun diketahui Selasa lalu. Namun sehingga hari ini masih ada lagi yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan cara pemilihan lagu yang bakal beraksi di pentas berprestij itu.

Selepas Datuk Hattan, kini giliran Datuk AC Mizal pula berkongsi pendapatnya. Pengacara program Vokal Mania itu berkata, sudah tiba masanya pemilihan lagu ke AJL berubah mengikut perubahan muzik semasa.

“Bagi orang baru mengadili lagu zaman kini untuk memajukan industri muzik dan baru ada kemajuan.

“Bertahun asyik lagu bunyi sama saja. Setuju atau tidak? Dah berzaman lagu genre sama dan cara nyayian yang sama. Saya rasa sudah tiba masanya untuk berubah.

“Biar generasi baharu yang tentukan hala tuju industri muzik dengan corak muzik dan nyanyian terkini. Juri pun kena terkinilah.

“Jemput juri yang relevan dengan pasaran muzik terkini dan bukan juri yang masih di zaman dulu. Peminat dan pendengar semakin hauskan muzik terbaru bukan nak dihidangkan dengan lagu yang tak mengikuti trend terkini,” luahnya.

Dalam masa sama, AC juga menyifatkan citarasa muzik kini sudah berubah dan ramai generasi artis baharu yang membuat pelbagai perubahan dalam muzik.

“Mana lebih baik untuk menentukan lagu itu bagus atau tidak menerusi pemilihan juri atau jutaan peminat yang menonton muzik video atau muat turun lagu terkini?

Iklan

“Masa dah berubah, citarasa dah berubah. Kalau kita masih berpandu pada citarasa yang lama maka artis tidak berani buat pembaharuan sebab susah nak masuk radio dan TV.

“Maka industri hiburan kita terutama nyanyian dan lagu tidak akan berkembang. Persoalan yang perlu dijawab adalah lagu terbaik selalunya bukan semua popular dan lagu popular adalah yang terbaik buat pendengar terkini.

“Jadi kalau tak ada pemahaman tentang lagu lagu terbaharu (stail nyanyian atau sound music) maka industri kita tidak akan berkembang,” katanya menerusi hantaran yang dilakukan di laman Facebook miliknya.

Iklan

Terdahulu banyak pihak termasuk netizen mempersoalkan pemilihan juri untuk 12 lagu yang layak ke AJL35, apabila ada lagu yang dikatakan berpotensi telah tercicir untuk mara ke pentas akhir.

(SUMBER/FOTO: Facebook Datuk AC Mizal)