MESKIPUN terkilan apabila konsert sulungnya yang dijadualkan pada 19 Februari lalu ditunda, penyanyi Hael Husaini tidak pernah patah semangat, malah percaya akan ada peluang lain menantinya selepas ini.

Pihak pengurusannya, Rocketfuel terpaksa mengambil keputusan untuk menunda konsert Hael Husaini Live In KL untuk memastikan kesihatan penyanyi yang popular dengan lagu Jampi itu dalam keadaan baik.

Menurut Hael, biarpun persiapan rapi sudah dilakukan, namun dia terpaksa akur apabila masalah kesihatannya tidak mengizinkan.

“Perancangan konsert pertama saya sebelum ini ditunda oleh syarikat pengurusan kerana beberapa masalah yang saya rasa mereka sudahpun selesaikan.

“Insya-ALLAH kalau ada rezeki saya nak cuba buat sendiri konsert dan harap ia menjadi kenyataan kerana itu adalah salah satu impian saya sebagai penyanyi.

“Kalau nak cakap pasal kecewa, memang kecewa kerana saya sangat teruja untuk tampilkan konsert ini buat peminat. Namun saya tak boleh salahkan sesiapa apabila perancangan diaturkan tidak menjadi,” ujarnya kepada SinarPlus.

Dalam pada itu, ramai yang menegur penampilan dan berat badan selebriti 36 tahun itu yang kelihatan agak susut daripada biasa.

Mengulas tentang keadaan kesihatannya kini, ungkap Hael, semuanya dalam keadaan baik. Namun dia terpaksa menjaga pemakanan agar proses pemulihan kesihatannya berjalan lancar.

Hael curi tumpuan ramai ketika sidang akhbar Tonton Anugerah Drama Sangat di IOI City Mall Putarajaya baru-baru ini. (FOTO: TV3)

“Pihak pengurusan beri masa rehat yang cukup agar masalah kesihatan tidak membelenggu saya dalam tempoh yang lama.

“Semuanya dalam keadaan yang baik-baik sahaja, cuma saya kena jaga pemakanan dan ‘cut’ banyak benda. Jadi mungkin disebabkan itu nampak kurus sedikit. Alhamdulillah saya sihat sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis siding akhbar Tonton Anugerah Daram sangat di IOI City Mall Putrajaya baru-baru ini.

Acara fesyen

Dalam pada sibuk dengan aktiviti seni di tanah air, Hael memaklumkan kini kerap ke luar negara bagi menghadiri beberapa acara pertunjukan fesyen.

Peluang tersebut digunakan sebaik mungkin untuk mencari peluang baharu dalam kerjaya termasuk perancangan untuk mengadakan kolaboratif dengan selebriti luar negara bagi projek akan datang.

Iklan

“Alhamdulillah dari tahun lepas hingga sekarang, saya banyak terlibat dengan kempen jenama antarabangsa.

“Pengalaman yang cukup berharga kerana kehadiran saya ke sana adalah mewakili Malaysia. Mereka sendiri yang menjemput saya untuk menyertai acara tersebut dan saya kira ia satu perkembangan positif apabila mereka nampak Malaysia juga ke hadapan dalam bidang fesyen,” katanya yang cukup sinonim dengan fesyen.

Berkongsi perkembangan baharu kerjaya seninya, penyanyi asal Negeri Sembilan itu bakal tampil dengan album baharu tidak lama lagi.

Iklan

“Sekarang memang agak sibuk sikit dengan persiapan untuk album baharu. Dalam masa sama, saya juga terlibat dalam pembikinan lagu OST (runut bunyi) untuk beberapa buah drama televisyen.

“Salah satunya juga adalah lagu berjudul Luar Biasa untuk Didi & Friends The Movie. Alhamdulillah saya anggap sebagai satu pencapaian kerana memang sudah lama nak bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.