“Kalau orang nak pergi, dah tak ada hati, jangan dihalang..” – DJ Lin
PENGURUS Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin mengakui terkilan dengan tindakan bekas penyampai Suria Pagi, Fizi Ali yang meninggalkan stesen tersebut secara tiba-tiba.
Berikutan tindakan tersebut DJ Lin berkata, banyak perancangan yang sedang diatur oleh pihak pengurusan terganggu dan perlu dirombak semula, terutamanya melibatkan persediaan program Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell yang bakal diadakan di empat lokasi bermula 6 Ogos ini.
“Apa yang berlaku ini sebenarnya tidak saya sangka sama sekali. Dalam kesibukan membuat persiapan program Jelajah 90 Suria, saya dimaklumkan salah seorang penyampai (Fizi) membuat keputusan untuk meninggalkan Suria selepas mendapat tawaran lebih hebat di tempat lain.
“Saya sangat terkilan kerana tindakannya yang tidak memaklumkan lebih awal tentang perkara itu telah menyusahkan banyak pihak termasuk rakan-rakan penyampai lain.
“Ini kerana dia turut sama terlibat dengan penggambaran video promosi program tersebut bersama kesemua penyampai Suria yang ketika itu sudah hampir siap dan hanya tinggal proses penyuntingan.
“Akibatnya kami terpaksa menjalani penggambaran semula video berkenaan dan ia telah menyebabkan banyak masa terbuang, selain kos tambahan yang terpaksa dikeluarkan,” katanya yang ditemui ketika ditemui pada majlis majlis pelancaran program Siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL, pada Isnin.
Menurut DJ Lin pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dalaman dengan Fizi sebelum ini. Malah sebagai ketua di stesen tersebut, DJ Lin mengakui mereka umpama satu keluarga yang sentiasa bekerjasama dalam menaikkan nama stesen.
“Saya tiada isu jika dia mahu meninggalkan Suria, tetapi rasa sangat sedih apabila berlaku keadaan seperti ini sehingga menyusahkan orang lain. Sepatutnya kena ada rasa tanggungjawab.
“Sejak dulu Suria memang menerapkan nilai kekeluargaan antara kami semua. Buat kerja sama-sama, saling hormat menghormati dan saya sentiasa percaya keluarga tidak akan menyakiti ahli keluarga yang lain.
“Namun kalau orang nak pergi dan dah tak ada hati, jangan dihalang. Suria mahukan mereka yang benar-benar sayangkan stesen dan saya hargai orang yang begini,” katanya.
Menganggap apa yang berlaku sebagai satu dugaan yang harus dilalui, penyampai Suria Cinta itu menegaskan untuk tidak mahu lagi memanjangkan perkara tersebut dan akan terus fokus kepada perjuangan Suria dalam mencapai misi untuk menjadi antara tiga radio teratas yang menjadi pilihan ramai.
“Meskipun apa yang berlaku ini sangat mengecewakan, namun kami meneruskan perjuangan seperti biasa.
“Selain sibuk dengan program Jelajah 90 Suria sepanjang Ogos ini, kami juga terlibat dengan palbagai perancangan lain sempena tinjauan kajian radio pada bulan September dan Oktober depan.
“Soal pengganti, rasanya masih terlalu awal untuk berkongsi tentang perkara itu. Saya percaya ramai bakat-bakat hebat di luar sana dan Insya-ALLAH kami akan cuba mencari calon yang sesuai dan umumkan pada semua bila tiba masanya nanti,” katanya.
Program Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell yang bermula pada 6 Ogos ini akan menemui peminat di empat lokasi iaitu di Kuantan City Mall, Kuantan Pahang; Aman Central Alor Setar, Kedah (13 Ogos); Paradigm Mall, Johor Bahru (20 Ogos) dan IOI Mall Putrajaya (27 Ogos).
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang