Bayi jatuh katil masa rawatan jaundis kini kerap sawan, bapa dakwa berlaku kecuaian. 'Kepala terhentak atas jalan...'

A
A
A

KETIKA proses memindahkan itu, bayi saya terjatuh dari katil bayi (baby cot) menyebabkan kepalanya terhentak ke atas jalan.

Siapa tidak luluh hati, bayi yang dilahirkan seberat 3.3 kilogram (kg) itu sihat dan normal semakin menunjukkan ciri kemerosotan dan dibimbangi mengganggu pembesarannya.

Demikian kata Muhammad Syarifuddin Manan, 24, yang membuat laporan polis mendakwa kecuaian kakitangan hospital menyebabkan bayinya terjatuh katil pada 17 November lalu ketika anak sulung perempuannya itu baru berusia dua hari sehingga kerap diserang sawan.

Berkongsi kronologi kejadian, kata Muhammad Syarifuddin bayinya yang kini berusia 41 hari terdahulu disahkan menghidap jaundis atau kuning dan telah dibawa oleh jururawat ke kenderaan untuk dipindahkan ke hospital lain.

Namun ketika proses pemindahan katil, beliau mendakwa ada kecuaian hingga si kecil terjatuh manakala bahagian kepala terhentak pada lantai.

Malah katil berkenaan didakwanya ditinggalkan tanpa pengawasan di kawasan jalan cerun menurun di sebuah laluan.



"Akibat kejadian itu, anak saya mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali kerana diserang sawan.

"Saya harap kes sebegini tidak lagi berulang, anak saya mendapat keadilan dan pihak hospital dapat menambah baik perkhidmatan yang disediakan," katanya.

Sementara itu, peguam mewakili Muhammad Syarifuddin, Mohd Hazwan Hamidu berharap mendapat penjelasan dari hospital berkenaan dalam tempoh dua minggu selepas laporan itu dibuat.

Katanya, laporan polis dibuat pada Khamis adalah laporan kedua selepas laporan pertama dibuat sejurus insiden berlaku pada 17 November lalu.

Artikel Berkaitan:


"Sebelum ini, bapa kepada bayi ini telah membuat laporan polis pada hari kejadian.

"Dia juga telah beberapa kali berhubung dengan pihak hospital berkenaan kes menimpa bayinya, bagaimanapun pihak hospital menafikan ia berpunca daripada kecuaian.

"Namun, kenyataan daripada saksi kejadian menunjukkan terdapat unsur-unsur kecuaian dalam kes ini," ujarnya.

Mohd Hazwan berkata, kes itu diharap mendapat perhatian pihak hospital sebelum tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang