Kalau perlu jalani pembedahan, saya akan lakukan - Uyaina

Uyaina Arshad
Uyaina Arshad
A
A
A

BIARPUN terpaksa melupakan seketika aktiviti seni ketika namanya sedang meningkat naik di Indonesia akibat pandemik Covid-19, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad mengakui tidak pernah berasa terkilan atau kecewa.

Sebaliknya Uyaina atau nama lengkapnya, Saidatul Naseha Uyaina, 28, rancak merencana kerjaya seninya di Malaysia, baik dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan.

Percaya segala yang berlaku datang bersama hikmah tersembunyi, Uyaina yang cukup dikenali dengan program Wanita Hari Ini, bersyukur kerana sempat kembali ke tanah air, sebelum penularan Covid-19 bertambah serius di Indonesia.

“Sebelum ini saya sentiasa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta. Boleh dikatakan enam bulan di Malaysia dan enam bulan lagi Indonesia.

“Pada 31 Disember tahun lalu saya pulang ke Malaysia kerana terlibat dengan sebuah  penggambaran drama.

“Sepatutnya saya kembali ke Indonesia pada bulan Februari untuk program Liga Dangdut di sana, tetapi membatalkan perancangan tersebut apabila mendapati penularan Covid-19 di sana semakin membimbangkan.

“Sejujurnya memang banyak program yang melibatkan saya di sana terpaksa saya lupakan termasuk program Puteri Muslimah yang sudah memasuki musim ketiga ,” jelasnya.

Meskipun rindu dengan rutin dan aktiviti seni di sana, Uyaina akur dengan situasi semasa dan meluahkan rasa syukur kerana selamat berada bersama keluarga di tanah air.

“Kalau ikutkan rindu, memanglah saya rindu sangat nak kembali bersama teman-teman di sana bekerjasama dalam pelbagai program dan aktiviti seni sebagaimana yang kami lakukan sebelum ini.

“Bagaimanapun, mungkin sekarang bukan masa yang sesuai. Malah saya memutuskan untuk tidak kembali ke sana dalam tempoh setahun dua ini, sehinggalah vaksin ditemui dan keadaan kembali reda.

“Jadi buat masa ini saya hanya akan fokus kepada kerjaya di tanah air dan cuba membina prestasi dengan sebaik mungkin menerusi peluang yang diberikan,” akuinya yang turut memuji sikap mengambil berat masyarakat di sana.

Berkongsi perkembangan terkininya, kata Uyaina, selain sibuk dengan program Ratu Hijabista, dia juga akan tampil dengan drama terbaharu, Perempuan Tak Berdosa yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

“Selepas PKP jadual kerja kembali sibuk dengan pelbagai komitmen. Alhamdulillah peluang demi peluang datang dan saya sangat hargai.

“Penglibatan dalam program Ratu Hijabista sebagai pengacara juga sangat istimewa kerana dapat bekerjasama dengan idola saya, Puan Seri Normala Samsudin.

“Manakala untuk drama pula, karya arahan Michael Ang itu akan mengubat rindu peminat yang sering bertanyakan tentang lakonan terbaru saya,” ujarnya.

Sentiasa ikut nasihat doktor

Melihat kepada kesibukannya dengan kerjaya seni, ramai yang tertanya-tanya tentang keadaan kesihatan dirinya yang sebelum ini disahkan menghidap penyakit jantung.

“Alhamdulillah keadaan kesihatan saya dalam keadaan yang baik. Meskipun sibuk dengan kerja, saya sentiasa membuat pemeriksaan dengan doktor dan patuh dengan saranan yang diberikan.

“Kalau keadaan memerlukan saya menjalani pembedahan, saya akan lakukan dan berehat seketika daripada kerjaya seni. Tak mungkin saya mempertaruhkan  kesihatan semata-mata kerana sibuk kerja.

“Saya berkongsi tentang penyakit saya sebelum ini pun bukan kerana mahukan simpati atau perhatian, sebaliknya untuk berkongsi dan memberitahu orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan.

“Saya mahu beri kesedaran agar kita semua sentiasa positif menjalani kehidupan dan menghargai kesihatan sendiri,” katanya.

Menyentuh tentang kehidupan peribadinya, Uyaina lebih selesa untuk hanya bercerita tentang kerjaya seninya.

“Saya masih baru dalam industri dan belum ada prestasi membanggakan dalam kerjaya.

“Jadi biarlah saya bina nama dengan prestasi kerja terlebih dahulu, sebelum menjadi tumpuan kerana cerita-cerita bersifat peribadi,” ujarnya yang berhasrat untuk menamatkan zaman gadis sebelum usia mencecah 30 tahun.

 

(FOTO: Azrul Rafie/Astro)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca