Kamal Adli lebih berhati-hati

A
A
A

INSIDEN diserang dan dicederakan oleh individu tidak dikenali akhir Mac lalu meninggalkan kesan yang mendalam buat pelakon dan pengacara, Kamal Adli.

Akui bintang berusia 37 tahun itu, dia bukan sahaja bimbang untuk keluar rumah, tetapi menjadi lebih berhati-hati apabila berada di tempat awam dan berjumpa dengan individu tidak dikenali.

"Sebelum ini saya tidak tahu apa itu trauma. Selepas insiden serangan itu, barulah saya faham.

"Pada awalnya saya lebih selesa berada di rumah dan takut untuk keluar, tetapi saya terfikir sampai bila mahu begini kerana kesian melihat isteri sahaja yang keluar bekerja.

"Pernah saya cuba keluar ke tempat orang ramai, tetapi setiap dua langkah, saya akan menoleh. Bila jumpa orang pun saya rasa agak bimbang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Mega Superstar di Hotel Vivatel, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Akibat kecederaan yang dialami, Kamal ditahan di sebuah hospital di Singapura untuk beberapa hari.

Bahkan sehingga kini, dia belum mempunyai kekuatan untuk kembali ke Kota Singa itu, namun bersedia berbuat demikian sekiranya benar-benar diperlukan.

"Saya tak buat sebarang kenyataan kerana bimbang boleh disalah gunakan oleh pihak sana. Bagaimanapun dalam masa sama, saya sendiri tidak jelas punca serangan itu berlaku.

"Saya juga masih tertanya-tanya mengapa dia (suspek) menyerang saya. Apa salah saya? Saya ada usik anak dara orang ke? Saya ada sakitkan hati sesiapa ke? Polis pula hanya kata serangan sebab isu peribadi tetapi tidak jelas apa isunya.

"Selepas diserang, saya ada juga lihat muka dia untuk lihat kalau saya kenali orangnya. Dia pula hanya ketawa selepas mencederakan saya," jelasnya yang ingin mengetahui punca sebenar diserang.

Terdahulu, Kamal mengalami kecederaan parah di bahagian belakang kepala selepas diserang oleh seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi ketika berada di Jualan Mega Hari Raya di Singapura sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

Suspek kini berada dalam tahanan polis dan kes tersebut akan dibicarakan pada 30 Mei ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca