ERA Sabah, HITZ Sabah dan MY Sabah dengan kerjasama Sazarice dan Bataras Hypermarket telah memulakan kempen ‘Kami Care 4 Sabah’ bermula 19 hingga 23 Oktober ini.

Kempen tersebut bertujuan untuk menyediakan keperluan harian asas seperti beras, minyak masak, makanan dalam tin, gula, susu atau tepung kepada penduduk di Sabah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengurus Besar, Astro Radio Malaysia Timur, Hafizuddin Nizamuddin berkata, dalam situasi yang sukar itu, mereka tampil memberikan sokongan kepada keluarga-keluarga di Sabah yang memerlukan bantuan melalui usaha amal ‘Kami Care 4 Sabah’.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar dan rakan kongsi atas sumbangan mereka, dan kami memberi dorongan kepada mereka yang mampu, untuk terus bermurah hati dalam memberi sumbangan.

“Kami berharap bantuan yang diterima dapat meringankan beban yang dihadapi oleh banyak keluarga,” katanya dalam satu kenyataan keapda pihak media.

Hafizuddin juga berharap semua rakyat Sabah dapat menyumbang kepada kempen ‘Kami Care 4 Sabah’ dengan membeli barang keperluan di tiga Pasar Raya Besar Bataras terpilih iaitu Bataras Bandar Sierra, Bataras Bundusan dan Bataras Putatan.

“Setelah selesai membeli, barang keperluan tersebut boleh ditempatkan di stesyen #KamiCare4Sabah yang disediakan, berhampiran pintu keluar utama Pasar Raya Besar Bataras,” katanya.

Iklan

Astro Radio Sabah turut menerima pelbagai sumbangan besar dari rakan kongsi seperti Sazarice, Bataras, Sabah Bumiputera Travel & Car Rental Agents Association (PAKEBS), Annona Bird’s Nest, Passfume, VMagic, Daikin KK, Wah Yoon, Tung E dan Popoutink.

Sepanjang perjalanan amal ‘Kami Care 4 Sabah’, semua bantuan yang disumbangkan akan disalurkan kepada keluarga yang terjejas oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dan Pasukan Pertahanan Negeri Sabah.

Iklan

 

(FOTO: ERA Sabah)