PELAKON Nonny Nadirah membuat pendedahan mengejutkan apabila memaklumkan rancangan pernikahan dengan teman lelakinya yang juga pelakon, Niezam Zaidi, 28, telahpun dibatalkan.

Berita tersebut dikongsi Nonny, 31, menerusi laman Instagramnya semalam tanpa menjelaskan sebab sebenar keputusan tersebut diambil.

Bagaimanapun, pelakon Luka Di Hati Diya itu memohon para peminat dan mereka yang mengenalinya agar mendoakan yang terbaik buat mereka berdua agar bertemu kebahagiaan masing-masing.

“Sekadar makluman, setelah mengambil kata sepakat, rancangan perkahwinan antara kami telah pun dibatalkan.

“Satu saja kami minta, tolong doakan kebahagiaan buat kami dan bertemu jodoh yang baik buat masing-masing ya.

“Sesungguhnya kami hanya mampu merancang tapi ALLAH itu sebaik-baik perancang.

“Kepada rakan media, maaf saya tak dapat nak mengulas semula dengan anda semua. Untuk masa ini, saya simpan dulu komen saya. Harap semua faham. Sayang semua,” tulis Nonny.

Dalam perkongsian sama juga, anak kelahiran Sabah itu juga turut memberikan ucapan hari jadi yang ke-28 buat Niezam yang jatuh pada hari sama.

“Happy birthday sahabat. Semoga ALLAH memberkati dan merahmati seluruh usiamu, dikurniakan kesihatan yang baik, dikayakan dengan iman, taqwa dan harta.

Iklan

“Semoga menjadi anak yang baik dan bertemu jodoh dengan orang yang baik-baik. Dikurniakan segala kebaikan, hajat dunia dan akhirat. Amin,” ucapnya.

Ruangan komen hantaran tersebut dipenuhi dengan kata-kata semangat daripada peminat dan teman-teman yang mengharapkan agar Nonny tabah berdepan dugaan tersebut.

Iklan

Terdahulu, Niezam sudahpun berjumpa dengan keluarga Nonny di Kota Kinabalu, Sabah untuk memohon restu perhubungan mereka. Malah pasangan itu juga dikatakan telah mengikuti kursus perkahwinan pada pertengahan September lalu dan bakal berkahwin dalam masa terdekat.

 

(FOTO: Instagram Nonny Nadirah)