PERSATUAN Karyawan Malaysia menyambut baik tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) untuk mengemaskini program Padu Citra di mana penerbit tidak lagi perlukan pengesahan keahlian dalam tiga persatuan iaitu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) atau Persatuan Profesional Filem (Profima).

Menurut Karyawan, tindakan itu akan dapat mengurangkan beban pada penerbit filem dan iklan untuk mendapatkan tandatangan dan cop persatuan untuk setiap borang SPP (Sijil Pengesahan Produksi) yang perlu dikeluarkan oleh Finas sebelum penggambaran dijalankan.

Tindakan untuk mengakreditasikan semua penggiat seni juga satu langkah positif di mana Finas akan dapat statistik tentang penggiat seni aktif dalam industri kreatif pada bila-bila masa.

Pada masa yang sama, Karyawan turut mencadangkan satu badan baharu ditubuhkan untuk menggantikan CCIG yang pernah diberi tanggungjawab itu lebih 10 tahun lalu, namun gagal melakukan akreditasi seperti diharapkan.

“Badan baharu ini boleh dijadikan badan induk di mana setiap orang yang mendapatkan akreditasi daripada Finas secara automatik diminta menjadi ahli kepada persatuan baharu ini tidak kira pelakon, pengarah, krew filem, jurukamera, penyunting video, pengamal animasi, pemuzik, penyanyi, juruaudio dan sebagainya.

Iklan

“Karyawan mengharapkan diberi peluang oleh Finas untuk membantu dalam proses ini yang akan membawa pembaharuan kepada industri kreatif tanahair dan menjadi batu asas kepada pembangunan industri kreatif tanahair secara sistematik dan teratur,” ujar Karyawan dalam satu kenyataan kepada media.

 

Iklan

(SUMBER: Persatuan Karyawan Malaysia)