KUMPULAN nasyid Inteam meneruskan kolaborasi sempena Ramadan dengan menampilkan penyanyi Ezad Lazim dalam rakaman semula lagu Kasihku Abadi 2023.

Karya yang pernah menaikkan nama Inteam sekitar tahun 2004 itu diberi nafas baharu menerusi gubahan Munif Ahmad daripada kumpulan Hijjaz, manakala liriknya oleh Lukhman S. Sementara susunan muzik pula adalah hasil kreativiti Alfa Booty Kesuma dan Wan Saleh.

Inteam yang dianggotai Syah, Hisyam, Hazamin dan Rahim itu berkata, rakaman semula lagu tersebut hadir dengan konsep muzik berbeza, selain paduan suara dengan Ezad Lazim yang memberi sentuhan tersendiri.

“Kalau versi sebelum ini lebih berkonsepkan muzik pop balada, kali ini kami cuba memasukkan unsur-unsur pengaruh muzik Arab dan Turkiye dalam kolaborasi ini,” ujar Syah.

Mengulas pemilihan Ezad lazim untuk versi baharu lagu tersebut, Hisyam menjelaskan, mereka senang berkerjasama dengan penyanyi itu yang pernah tampil berduet ketika konsert 20 tahun Inteam sebelum ini.

“Sebenarnya sebelum ini kami pernah berduet secara live menyanyikan lagu Bunga bersama Ezad Lazim dan Exists pada Konsert 20 tahun Inteam.

“Melihat kepada keserasian gabungan tersebut, kami menawarkan Ezad untuk berduet dalam lagu Kasihku Abadi 2023 ini. Alhamdulillah beliau menerima dan memberi komitmen yang sangat baik sekali,” katanya.

Maklum balas positif

Tambah Hazamin, para peminat mereka memberikan maklum balas yang cukup positif dengan kolaborasi tersebut dan mengharapkan agar mereka terus tampil dengan karya terbaik pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, respons peminat sangat baik dan ramai mengatakan gabungan suara Inteam dan Ezad Lazim dalam lagu ini sangat serasi.

“Daripada komen yang kami baca juga, ramai yang tersentuh hati dan menitiskan air mata melihat kisah yang dipaparkan dalam muzik video lagu ini,” ujarnya.

Inteam terharu kolaborasi bersama Ezad Lazim menerusi lagu Kasihku Abadi 2023 mendapat maklum balas positif daripada peminat.

Berkongsi tentang pembikinan muzik video lagu tersebut, Rahim menyifatkan ia cukup istimewa apabila mengangkat kisah menarik perkahwinan Haziq Samrat yang juga merupakan orang kelainan upaya yang tular baru-baru ini.

Iklan

“Dalam penghasilan muzik video kali ini, kami cuba mengangkat kisah penuh inspirasi daripada perkahwinan Haziq Samrat yang merupakan orang kelainan upaya bersama isterinya, Miera yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Kisah perkahwinan mereka sangat sesuai dengan lirik lagu ini yang menggambarkan setiap insan mendambakan kehadiran pasangan yang akan melengkapi hidup, serta menjadi fitrah manusia ingin berkasih sayang dan berpasang-pasangan,” katanya.

Lagu Kasihku Abadi 2023 dilancarkan pada 17 Mac lalu dan kini boleh didengari semua pelantar muzikn digital. Sementara muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube rangkaian Inteam Digital. Sehingga kini, muzik video tersebut sudah meraih 93,000 jumlah tontonan.

Iklan

(FOTO: INTEAM)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.