KEBAKARAN membabitkan gedung tekstil terkemuka, Jakel Mall di Seksyen 7, Shah Alam, awal pagi tadi turut menjejaskan butik milik penyanyi, Dr Fitri Haris.

Difahamkan butik Al Mukarramah yang terletak kira-kira 60 meter dari Jakel Mall turut terbakar dan melibatkan 70 peratus kerugian.

“Butik saya turut mengalami kebakaran. Pohon doa kesejahteraan buat Jakel Shah Alam kerana kebakaran seluruh wisma itu membuatkannya merebak hingga ke Butik Al Mukarramah.

“Segala urusan promosi ditangguhkan dan akan dikemaskini. Saya juga ingin maklumkan acara hari ini turut dibatalkan,” tulisnya.

Juara program Gema Gegar Vaganza 2 itu turut meminta orang ramai mendoakan semua pihak yang terlibat dalam kejadian tidak terduga pada awal tahun itu.

“Mohon doa dari semua. Pohon doa kesabaran buat rakan seperjuangan, Ezani dan seluruh warga Jakel Shah Alam dan Al Mukarramah.

Iklan

“Maaf atas kesulitan. Hanya pada-Nya kami berserah,” coret Fitri.

Iklan

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 7.08 pagi.

Setakat ini, 80 peratus bangunan Jakel musnah dalam kebakaran akibat litar pintas itu.