KISAH kecaman, kutukan serta dilemparkan dengan pelbagai kata nista bukan situasi baharu yang dilalui oleh pelakon dan penyanyi, Nabila Razali.

Terbaharu Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 28, dituduh mengadai maruah diri demi untuk mendapatkan ‘job‘ di stesen TV.

Mengakui terasa hati dan sedih apabila difitnah sedemikian rupa, Nabila berkata, dia bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kata-kata nista itu.

Bahkan tidak seperti segelintir selebriti lain yang memilih untuk mengambil tindakan undang-undang, bintang yang mula dikenali menerusi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati merasakan belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

“Kalau awal-awal dahulu, sejujurnya saya hampir mengalah apabila dikutuk, dihina. Tetapi semakin lama, saya rasa kecaman yang diterima menguatkan saya lagi untuk berada dalam industri.

“Saya tak nafikan ada ketikanya kecaman yang diterima membuatkan saya jadi takut apabila berada di atas pentas atau apabila mahu membuat persembahan.

“Nasihat saya hentikanlah tuduhan yang tidak berasas, yang boleh mengundang fitnah. Zaman dah semakin maju, jadi tak elok ada pemikiran sebegitu.

“Itu semua adalah rezeki. Saya pun bukan semua benda yang nak saya dapat, tapi saya percaya pada rezeki. Jadi tak elok kita persoalkan rezeki yang ALLAH SWT sudah tentukan,“ ujarnya ketika ditemui pada rakaman program Melodi Extra, baru-baru ini.

Melodi Xtra adalah extended daripada program hiburan popular Melodi TV3. Bagaimanapun Melodi Xtra yang dikendalikan pengacara, Ain Edruce akan disiarkan di saluran HyppSensasi Unifi TV bermula 22 November ini.

Nabila teruja kerana impiannya untuk melangkah ke pentas separuh akhir Muzik Muzik ke-35, menjadi kenyataan.

Ditanya mengenai pertikaian sesetengah pihak terhadap kredibilitinya untuk menyanyikan secara langsung, termasuk apabila berjaya melangkah ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik ke35 (SFMM35), Nabila berkata, misinya hanyalah mahu memberi yang terbaik.

“Saya cuba jauhkan sekejap toksik-toksik, negativity daripada circle saya. Saya mahu beri perhatian kepada teknikal, dalaman dan minda, kerana itu semua mempengaruhi persembahan.

“Lebih-lebih macam saya yang pertama kali melangkah ke SSMM, saya nak betul-betul komited dan semoga semua dipermudahkan.

“Untuk bercakap mengenai kredibiliti seseorang itu, pada saya kita tengok hasilnya nanti. Saya rasa tak perlu bercerita kepada orang ramai (apa yang dilakukan), cukuplah saya dapat berikan persembahan yang baik pada malam separuh akhir itu nanti,“ katanya yang merahsiakan sama ada akan membawa MK K-Clique bersama dalam persembahan.

Nabila, bakal bersaing pada hari kedua SFMM35 yang akan berlangsung pada 21 November ini menerusi lagu Peluang Kedua, ciptaan komposer Hael Husaini dan MFMF.

Muzik video Peluang Kedua yang turut menampilkan MK sudah meraih sebanyak lebih 22 juta tontonan sejak ia mula dimuat naik dua bulan lalu.

Iklan

Tambah Nabila, walaupun menghadapi sedikit masalah dengan suaranya, namun ia tidak menjadi penghalang buatnya untuk membuat yang terbaik nanti.

“Kesihatan saya Alhamdulillah baik setakat ini. Bagaimanapun ada masalah dengan suara saya dan memang doktor ada nasihatkan untuk menghadkan penggunaan vokal.

“Tetapi saya percaya, orang di luar sana tidak mahu tahu apa masalah yang saya hadapi dan hanya mahu melihat hasilmya (persembahan) nanti. Insya-ALLAH saya akan cuba yang terbaik,“ jelasnya.

Nafi hubungan istimewa

Iklan
Nabila dan MK K-Clique bergandingan dalam muzik video Peluang Kedua yang dinyanyikan Nabila.

Sementara itu, diusik mengenai dakwaan ramai yang mengatakan Nabila mempunyai hubungan istimewa dengan MK selepas bekerjasama dalam muzik video Peluang Kedua, bekas peserta Akademi Fantasia 2013 itu pantas menafikan.

Katanya, tidak ada apa-apa perhubungan yang terjalin selepas kerjasama mereka dan hubungan mereka tidak lebih daripada rakan seindustri.

“Saya tak nafikan MK telah memberi impak tersendiri terhadap muzik video Peluang Kedua, tetapi hubungan antara kami tidak lebih daripada seorang kawan.

“Saya juga senang bekerjasama dengan dia kerana dia memang seorang yang sempoi dan santai,“ ujarnya.