BIARPUN lama tidak tampil dengan drama baharu di kaca televisyen (TV), pelakon Fadlan Hazim mengakui masih aktif berlakon, sekali gus menafikan dakwaan kononnya sedang ‘berehat’ daripada dunia seni kerana masalah kesihatan.

Menurut Fadlan , 29, ramai salah faham dengan kondisi kesihatannya selepas dia berkongsi tentang penyakitnya berkaitan masalah depresi beberapa bulan lalu.

Pelakon drama Seribu Rindu turut menjelaskan, perkongsian dilakukan itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai yang mengalami depresi akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bercerita tentang keadaan diri yang pernah mengalami masalah kesihatan mental dan rawatan dilakukan untuk mengatasi masalah itu demi memberi kesedaran kepada orang ramai yang berdepan perkara sama.

“Bagaimanapun ada pula yang salah faham tentang perkongsian itu dan fikir saya tidak sihat dan berehat seketika daripada lakonan untuk menjalani rawatan.

“Walhal saya baik-baik sahaja dan tidak pernah terdetik untuk mengambil cuti daripada berlakon sebagaimana didakwa,” ujarnya kepada SinarPlus.

Berikutan salah faham yang timbul itu, Fadlan berkata, dia kehilangan beberapa tawaran kerja kerana pihak produksi menyangkakan dia tidak berada dalam kondisi yang baik untuk bekerja.

“Pada mulanya saya tidak tahu tentang perkara tersebut sehinggalah ada beberapa wakil daripada produksi menghubungi saya dan bertanya adakah saya masih bercuti atau sudah bersedia untuk kembali bekerja.

“Barulah saya faham, rupa-rupanya ramai yang tidak cari saya selama ini kerana tidak mahu ganggu saya yang sedang ‘berehat’ kerana masalah kesihatan.

“Jadi saya perlu membuat pencerahan berkaitan perkara ini agar tidak timbul lagi salah faham berkaitan soal itu,” katanya.

Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, Fadlan berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Shah Alam 40K yang tertangguh kerana PKP sebelum ini.

“Alhamdulillah tawaran berlakon datang tidak putus, biarpun ada ketikanya tertangguh penggambaran kerana kekangan pandemik.

Iklan

“Sebenarnya ada beberapa drama lakonan saya yang telah selesai penggambarannya, namun belum disiarkan di kaca TV.

“Mungkin itu juga menjadi salah satu sebab kenapa orang fikir saya tidak lagi aktif berlakon,” katanya.

Mengulas tentang keadaan kesihatannya kini, Fadlan mengakui semakin pulih dan bersemangat menjalani kehidupannya dengan positif.

Iklan

“Alhamdulillah, kesihatan mental saya bertambah baik dari masa ke semasa setelah mendapatkan rawatan yang betul daripada doktor.

“Bukanlah dah sembuh seratus-peratus kerana penyakit itu wujud sejak saya masih remaja lagi, tetapi ia jauh lebih baik berbanding dulu.

“Tiga tahun lalu, keadaan saya agak serius sehingga pernah dimasukkan di wad psikiatri kerana berdepan dengan beberapa keadaan yang mengganggu fikiran dan perasaan saya.

“Jadi sekarang, saya sentiasa menjaga diri agar tidak terdedah lagi dengan situasi-situasi yang boleh membawa saya ke arah itu,” akuinya yang pernah mengalami trauma akibat pengalaman silam.