MESKI dunia seni mengalami kesuraman impak daripada pandemik Covid-19, pelakon Keith Foo tetap berfikiran positif dan sentiasa mengatur strategi terbaik untuk mengembangkan kerjaya lakonannya.

Pernah berehat seketika dari dunia lakonan lebih dua tahun lalu, Keith, 38, mengakui kini semakin bersemangat meneruskan kerjaya lakonannya.

“Sejak tahun lalu, jadual saya sangat sibuk dengan penggambaran dan masih berterusan sehingga awal tahun ini sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua diumumkan baru-baru ini.

“Saya baru sahaja selesai penggambaran drama 22 episod, Yang Bakal Mati Ramadan Ini, selain sebuah telefilem dan drama baharu yang akan mulakan penggambaran tidak lama lagi.

“Saya terharu kerana rezeki masih ada dan tawaran berterusan diterima daripada pengarah dan penerbit yang masih mahu bekerjasama dengan saya,” katanya yang merupakan duta produk kesihatan Crystal C White.

Pelakon berdarah kacukan Cina dan India itu juga memberitahu dia kini dalam proses membuang tatu di badannya.

“Keputusan ini memang saya sendiri yang buat dan bukan disebabkan saranan atau paksaan sesiapa.

“Saya nak buang tatu kerana mahu tampil dengan tubuh bersih dan dalam masa sama memudahkan saya untuk membawakan pelbagai watak dalam lakonan

“Setakat ini saya dah buang sebanyak 10 peratus dan selebihnya masih dalam proses,” katanya.

Dalam pada sibuk dengan kerjaya seni, Keith juga aktif dengan kerja-kerja amal menerusi pelbagai aktiviti yang disertainya bersama St John Ambulan Malaysia.

Menurut anak kelahiran Negeri Sembilan itu, penglibatannya dalam kerja amal dapat memberikan kepuasan tersendiri buatnya yang sejak dulu gemar melakukan sesuatu untuk membantu golongan memerlukan.

“Setiap kali terlibat dengan kerja amal, saya dapat rasakan satu perasaan yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Apa yang pasti, saya rasa gembira.

Iklan

“Dalam masa sama, mungkin juga selepas berpisah dengan isteri, saya cuba pastikan diri sentiasa sibuk untuk mengelakkan bersendirian di rumah.

“Saya tidak mahu membiarkan diri tenggelam dengan pemikiran negatif dan mengambil pendekatan dengan sibukkan diri dan ubah cara hidup menjadi lebih positif agar dapat menggembirakan diri sendiri serta orang sekeliling saya,” ujar Keith.

Berkongsi tentang kehidupannya sebagai bapa tunggal sejak dua tahun lalu, Keith mengakui semakin menyesuaikan diri dan cuba menjadi bapa terbaik kepada anaknya, Skylar Raymond yang kini berusia empat tahun.

“Saya dan bekas isteri berpisah secara baik, jadi kami sentiasa berhubung dan menjaga anak sama-sama tanpa ada sebarang isu.

Iklan

“Jika dia sibuk dengan kerja, anak akan berada di bawah jagaan saya dan begitulah sebaliknya. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya gembira dengan situasi itu.

“Kami cuba pastikan anak tidak terkesan dengan perpisahan yang berlaku dan sentiasa memberikan yang terbaik buatnya dalam aspek apa pun,” akuinya tidak berhasrat berkahwin lagi buat masa ini.

(FOTO: Rosli Talib)