MENGAKUI menimba pengalaman berharga sepanjang bergelar peserta Big Stage 2020 (BS2020), penyanyi Dinie Rashid semakin yakin untuk melangkah lebih jauh, sekali gus mengetengahkan bakat nyanyiannya.

Meskipun memegang status Orang Kurang Upaya (OKU) pengelihatan, Dinie atau nama penuhnya Muhammad Dinie Abdul Rashid, 28, mahu membuktikan dia mempunyai kelebihannya tersendiri.

“Jujurnya pentas BS2020 banyak mengubah persepsi saya dalam banyak perkara, malah membentuk keyakinan yang lebih tinggi dalam diri saya.

“Saya akui dulu saya sendiri tidak yakin dengan kemampuan diri, namun selepas menimba pengalaman selama lapan minggu di pentas BS2020, saya mula nampak apa yang saya mampu lakukan.

“Apa yang penting di sini adalah usaha dan kerja keras kita untuk mendapatkan atau menghasilkan sesuatu,” ujar Dinie.

Tidak menafikan diri sering diperlekehkan sebelum ini, Dinie tekad untuk tidak menjadikan perkara tersebut sebagai sesuatu yang menghalangnya untuk terus ke depan.

“Memang saya akui sebelum ini ramai yang ragu-ragu dengan saya, malah mempersoalkan mampukah saya bersaing dengan peserta lain dalam BS2020 dan sebagainya.

“Saya tak kisah pun dengan apa yang orang cakap, sebaliknya saya push diri saya untuk kerja lebih keras dan buktikan mereka salah.

“Alhamdulillah saya bertuah kerana mempunyai pengurusan yang yakin dengan diri saya, selain peminat yang menyokong perjalanan seni saya,” uajarnya.

Mengulas tentang kerjaya seninya selepas ni, Dinie berkata, dia kini dalam perancangan untuk menghasilkan single terbaharunya tidak lama lagi.

Berbeza dengan genre muziknya sebelum ini yang lebih cenderung kepada lagu pop balada, Dinie yang pernah tampil dengan single Bukan Cinta Aku itu mahu memberi kelainan dalam penghasilan single terbaharunya itu.

“Sebelum ini saya lebih selesa bawa lagu balada, tetapi setelah mencuba pelbagai genre lagu ketika di pentas BS2020, saya ada keinginan untuk mencuba benda baharu.

Iklan

“Malah Faizal Tahir sendiri pernah cakap pada saya, dia lebih suka tengok saya menyanyikan lagu-lagu yang lebih relaks dan santai.

“Jadi mungkin saya boleh cuba dan cabar diri saya untuk buat benda-benda yang saya tak pernah lakukan sebelum ini.

“Apa pun saya serahkan kepada pihak pengurusan saya untuk tentukan kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu, Dinie tidak menafikan populariti yang diterima sebagai bintang BS2020 membuatkan lebih ramai peminat yang ingin mengenalinya lebih dekat.

Iklan

“Saya harap mereka terima saya kerana bakat yang ada dan bukan kerana simpati dengan kekurangan saya atau sebagainya.

“Saya hargai sokongan yang diberikan dan harap ia akan berterusan selepas ini,” akhiri Dinie.

 

(FOTO: Instagram Dinie Rashid)