KEKURANGAN dimiliki digantikan dengan kelebihan suara gemersik dalam nyanyian, selain bakat dalam bidang penciptaan lagu.

Itu anugerah buat insan istimewa, Fiena atau nama sebenarnya Nur Zafiena Anissa Zaini, 22, yang memilih untuk membina kerjaya dalam bidang seni suara.

Kemunculannya dalam program Mentor Milenia 2017 bukan saja menyentuh hati penonton tapi membuka mata banyak pihak akan bakat luar biasa dimilikinya.

Pernah tampil dengan single pertama yang juga merupakan karya ciptaannya sendiri, Tuhan Jaga Dia Untukku tiga tahun lalu, Fiena berjaya mencuri perhatian ramai, sekali gus memperkenalkan namanya kepada peminat muzik tanah air.

Kini Fiena yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan itu kembali dengan karya baharu ciptaannya, Folio Cinta.

Berkongsi mengenai lagu tersebut, Fiena berkata, Folio Cinta adalah hasil tugasan projek aplikasi orang buta seluruh dunia yang dikenali sebagai TeamTalk.

“Bagi melihat sejauh mana perkembangan kami dalam aplikasi ini, setiap orang diberikan tugasan dan saya memilih untuk menghasilkan lagu.

“Walaupun tempoh seminggu diberikan untuk menyiapkan tugasan ini, tapi saya dapat hasilkan dalam masa sehari saja,” jelasnya.

Menurut Fiena, lagu Folio Cinta menjadi pilihan pihak Nova Music untuk diterbitkan sebagai single terbaharu.

Iklan

“Nova Music memilih lagu Folio Cinta kerana ia seperti kesinambungan single pertama saya dulu.

“Walaupun lagu ini mengenai kisah pasangan kekasih curang dan kemudian ingin kembali, ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak, sebaliknya datang daripada idea saya sendiri,” ujarnya yang mahir bermain keyboard.

Dalam pada itu, Fiena mengharapkan agar karya itu mendapat sambutan ramai dan boleh pergi jauh.

Iklan

Apatah lagi, lagu itu juga terpilih sebagai lagu runut bunyi drama Aku Bukan Malaikat yang bakal disiarkan di RTM.

“Saya berharap lagu ini akan diterima baik pendengar seperti single terdahulu dan boleh pergi jauh, termasuk dicalonkan dalam Muzik Muzik 36 dan peringkat seterusnya,” katanya.

Folio Cinta kini boleh didengar di semua pelantar muzik digital bermula 12 Mac lalu. Sementara video liriknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.