SETELAH hampir setahun bergelar ibu tunggal, pelakon Anita Baharom kini kembali bergelar isteri apabila selamat disatukan dengan lelaki pilihan, Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, yang juga merupakan seorang ahli perniagaan sekitar 11.50 pagi Khamis.

Pasangan ini dinikahkan oleh abang kandung Anita, Zulkifli Baharom dengan hanya sekali lafaz bersaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Muhammad Hakimi Mustapa.

Pada majlis ijabkabul yang berlangsung di Garden Hall, Bizmilla One City Subang Jaya itu menyaksikan pengantin perempuan menerima mas kahwin berupa tiga keping dinar emas, manakala wang hantaran dirahsiakan.

Terdahulu sebelum itu, berlangsung acara khatam al-Quran oleh pengantin lelaki sekali gus mengambil berkat majlis.

Anita, 39, meluahkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang sejak sebulan lalu itu berjalan lancar dan dimeriahkan dengan kehadiran 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Alhamdulilah segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang sebelumnya, saya bersyukur sangat kerana diberikan peluang sekali lagi untuk bergelar isteri.

“Saya harap sangat dengan perkahwinan kali kedua ini dapat berikan kebahagiaan bukan saja untuk saya tapi untuk anak-anak kerana mereka juga memerlukan kasih sayang seorang bapa,” katanya.

Pasangan ini saling mengenali pada tahun 2017 ketika acara Sukan Sea di Kuala Lumpur. Bagaimanapun hubungan mereka mula rapat selepas Anita kematian suaminya.

Iklan

Ini merupakan perkahwinan kedua Anita yang pernah mendirikan rumah tangga dengan penerbit televisyen, Allahyarham Mohd Ismadi dan mereka dikurniakan tiga anak iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

Anita dan Engku Isyamuddin akan diraikan dalam majlis resepsi pada malam ini di lokasi sama.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.