PELAKON, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein meluahkan rasa syukur apabila diberi nikmat untuk hamil pada usia 40 tahun.

Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, setelah mengalami keguguran pada tempoh awal perkahwinan, dia sentiasa berharap dapat menghadiahkan zuriat kepada suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh , 31.

“Alhamdulillah sekarang ini kandungan dah tiga bulan, setelah hampir setahun menanti. Ini (kehamilan) hadiah paling indah buat kami sekeluarga.

“Pada awal trimester, saya tidak alami alahan teruk, cuma tiada selera makan dan tidak boleh bau masakan. Jadi saya memang tak masak dan bila pembantu rumah masak pun, saya tak ada selera untuk makan.

“Mujur boleh telan sushi, tapi kena makan di kedai sebab kalau buat penghantaran di rumah saya tak tahan dengan baunya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program masakan kelolaannya sempena Ramadan iaitu Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom yang diadakan di Kelab Tasik Putrajaya baru-baru ini.

Mohammad Mentek (tiga dari kiri) melancarkan program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom sambil disaksikan Penerbit Mache All Star United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah (kiri).

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Penerbit Mache All Star United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah.

Elly yang juga terkenal dengan panggilan Kak Lina Pom Pom berkata, perjalanannya menimang cahaya mata buat kali kedua ini membuka matanya untuk turut sama membantu pasangan lain di luar sana yang masih berusaha mendapatkan zuriat.

“Saya tak ambil apa-apa suntikan kesuburan atau buat rawatan. Saya cuma amalkan beberapa tip dan ambil suplemen untuk hamil.

“Saya juga dapat banyak DM (direct message di Instagram) yang meminta saya kongsikan tip untuk hamil dan sebagainya. Ada yang dah 10 tahun berkahwin dan tidak dikurniakan cahaya mata.

“Pertamanya anak itu adalah rezeki dari ALLAH SWT, jadi apa pun berbalik kepada rezeki ALLAH juga. Tetapi saya tak keberatan kongsikan kerana ALLAH juga mahu kita berusaha.

“Buat masa ini, disebabkan kekangan waktu, saya merancang membuat sesi siaran langsung di Instagram dan berkongsi tip serta amalan saya.

“Saya tahu saya bukan doktor atau pakar perubatan, jadi saya kongsikan apa yang saya amalkan sahaja,” jelasnya.

Elly meluahkan rasa syukur mempunyai suami seperti Azlan.

Tambah Elly, dia menyedari ada pihak yang kurang senang dengan perkongsian yang dibuat dan meminta individu yang merasakan dirinya mudah hamil tidak memperlekehkan usaha yang dilakukan bagi wanita yang sukar hamil sepertinya.

“Sebelum ini saya ada kongsikan tips dan ada yang komen : ‘alah, kalau subur tu, bersama selepas waktu Zohor ke Isyak ke, melekat juga’.

Iklan

“Itu anda yang mudah hamil, subur. Bagi saya individu seperti ini, jika anda tidak ada perkara baik yang ingin diperkatakan, baik diam dan doakan mereka yang teringin untuk hamil ini dipermudahkan,” tegasnya.

Bersedia dibandingkan

Dalam pada itu, berkongsi mengenai program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom, Elly berkata, ia akan disiarkan di TV1, pada jam 12.30 tengah hari sepanjang Ramadan.

“Program Senduk Kuali ini berbeza dengan mana-mana program masakan yang pernah diterbitkan kerana kita memilih resepi yang lebih mudah dan menunjukkan memasak ini tidak sukar sebenarnya.

Iklan

“Walaupun pernah ada program masakan hampir serupa sebelum ini, saya tak bimbang untuk dibandingkan. Bagi saya kalau kita takut, sampai bila-bila pun kita tak akan berjuang,” jelasnya.

Elly tampil dengan program masakan Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom di TV1 sepanjang Ramadan ini.

Ujar ibu kepada Putri Sara Sefhia itu, buat masa sekarang dia sudah mula memperlahankan karier lakonannya dan hanya menyelesaikan baki kerja yang sudah dipersetujui lebih awal.

“Saya masih terikat dengan beberapa program sehingga Ogos depan. Hamil di usia 40-an ini memang mencabar sebab saya cepat penat.

“Jadi saya tidak ambil lagi tawaran berlakon dan akan selesaikan kerja yang sudah dipersetujui lebih awal,” kata Elly lagi.