KEMBALI langsing atau mendapat berat badan ideal selepas bersalin sememangnya menjadi idaman buat mana-mana wanita.

Namun bagi pengacara dan pelakon, Scha Alyahya, dia tidak memberi fokus untuk kembali mendapatkan berat badan sebelum hamil, sebaliknya mengutamakan kesihatan dalaman dan pemakanan selepas selesai tempoh berpantang.

“Saya tak nafikan dah dapat berat badan asal saya. Cuma tak ada apa-apa rahsia atau rutin ketat yang saya ikuti.

“Mungkin bentuk badan saya tak banyak berubah walaupun ketika hamil, jadi saya tak ambil masa lama untuk menurunkan berat.

“Bagaimanapun menerusi perbualan dengan doktor sebelum ini, dia juga tidak galakkan saya mengejar penurunan berat badan, sebaliknya memberi tumpuan kepada kesihatan dalaman dan paling penting adalah pemakanan selepas habis berpantang.

“Lebih-lebih lagi saya menyusukan Lyla sepenuhnya, jadi kena titik beratkan pengambilan makanan berkhasiat untuknya dan saya juga,” ujarnya kepada SinarPlus.

Berkongsi pengalamannya menjadi ibu anak dua sejak dua bulan lalu, Scha, 38, mengakui ia bukan tugas mudah,  tetapi mencuba sedaya upaya untuk memberi layanan sama rata kepada Lara Alana, 7, dan Lyla Amina, dua bulan.

“Memang mencabar bila dah jadi ibu kepada dua cahaya mata. Pada mulanya saya fikir tidak sukar untuk menyesuaikan diri, tetapi sebenarnya sangat mencabar.

“Walaupun Lara dah besar, tetapi dia juga perlukan perhatian. Adiknya tentu sekalilah, bila cukup masa untuk menyusu atau tidur, dia akan menangis.

“Bila adik menangis, Lara pun mula nak menangis. Bila perlu tepuk untuk tidurkan Lyla, Lara juga nak. Perhatian tu pun banyak kepada Lara juga sebab dia sudah besar, faham dan cepat terasa.

“Jadi, itulah cabaran kena lalui sekarang yang mana saya kena sentiasa ingatkan diri sendiri dan Awal, yang pertama jangan lupa.

“Kadang-kadang kalau ke mana-mana pun orang akan fokus pada Lyla. Saya akan pergi pada Lara. Itulah cabarannya sekarang,” ujarnya ketika ditemui pada majlis ‘The Rising Star’ bersama Meeracle.

Scha sudah kembali sibuk bekerja dan memenuhi undangan berbuka puasa dan tugas sebagai duta bersama suami, Awal Ashaari dan anak sulungnya, Lara Alana.

Berkongsi mengenai kerjayanya, Scha berkata, biarpun belum bersedia untuk kembali berlakon, namun dia sudah mula turun padang untuk memenuhi majlis dan tuntutan kerjanya sebagai duta produk.

Bukan itu sahaja, isteri kepada pengacara dan pelakon, Awa Ashaari itu juga dalam rangka mempromosikan filem Air Force yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Iklan

“Saya memang ada mendapat tawaran. Soalan pertama pengarah adalah, sedia atau tak? Jadi itu yang saya pertimbangkan sekarang.

“Bagi saya mungkin belum lagi untuk berlakon sebab Lyla pun masih kecil. Kalau boleh sekarang ini nak menyusukan sepenuhnya jadi itu fokus saya buat sementara waktu.

“Kalau ada tawaran kerja seperti menghadiri acara atau buat kempen, okey lagi,” jelasnya.

Tertarik dengan Meeracle

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dengan produk penjagaan wajah, Meeracle, Scha berkata, dia tertarik untuk menjadi duta kerana kualiti dan keberkesanan produk terbabit.

Iklan
Scha bersama Pengasas Meeracle, Meera Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Meeracle, Khairol Afandy (kiri).

“Saya terpanggil untuk menerima tawaran mereka bukan sebab mereka hasilkan produk berkualiti dan bagus saja, tetapi Meeracle juga banyak membantu wakil stokis sehingga berjaya.

“Jadi dengan kehadiran saya sedikit sebanyak membantu mereka yang nak berniaga dari rumah atau yang nak mencari pendapatan lebih. Secara tak langsung dapat juga saya berikan sesuatu kepada mereka.

“Saya memang berbesar hati sebab berada dalam keluarga Meeracle sejak setahun lalu.

“Insya-Allah kalau ada rezeki panjang mungkin saya akan terus bersama mereka. Sebab saya tak suka buat sikit-sikit dan separuh jalan. Saya nak buat ‘all out’,” katanya.