PENYANYI Popular Indonesia, Bunga Citra Lestari tampil mengubat rindu peminatnya menerusi sebuah virtual showcase yang diberi nama Melangkah Lagi.

Bunga atau turut dikenali sebagai BCL, 37, sebelum ini menyepikan diri seketika daripada aktiviti selepas pemergian suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair pada Februari lalu, selain pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Persembahan istimewa yang berlangsung dari aras tiga kediamannya di Jakarta Selatan itu disiarkan menerusi laman YouTube miliknya, It’s Me BCL pada jam 3.30 petang (waktu Malaysia) tadi.

Menerusi showcase tersebut, BCL tampil  menyampaikan tiga buah lagu iaitu Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau dan single terbaharu, 12 Tahun Terindah.

Pilihan lagu-lagu tersebut ternyata membawa maksud  dan kenangan yang tersendiri buat BCL dan suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Sebelum menyampaikan setiap lagu, BCL menyelitkan petikan video yang menyaksikan momen indahnya bersama Ashraf.

Antaranya petikan temubual saat pertama bertemu arwah suaminya itu pada tahun 2007 menerusi program Beat TV dipaparkan sebelum menyampaikan lagu Cinta Pertama.

Manakala untuk lagu keduanya, Karena Ku Cinta Kau, BCL mengimbau kembali momen ketika Ashraf hadir memberikan sokongan saat menjayakan konsertnya di Jakarta pada 2017.

Persembahan tersebut ditutup dengan lagu 12 Tahun Terindah yang menyaksikan BCL menyampaikan single terbaharunya itu dengan penuh penghayatan.

Berusaha untuk tidak menunjukkan rasa sedihnya, BCL tampil tenang sepanjang membuat persembahan tersebut.

Iklan

Malah sebelum mengakhiri virtual showcase, ibu kepada Noah Sinclair itu sempat menatap kamera dan melemparkan senyum, barangkali sebagai isyarat dia kini bersedia untuk kembali melangkah dalam kerjaya seninya.

“Terima kasih untuk doa dan sokongannya. Untuk cintanya pada karya-karya saya dan untuk semangat yang diberikan sehingga menguatkan saya untuk melangkah lagi.

“Terima kasih telah menjadi perjalanan saya, mengiringi langkah saya, kembali melakukan hal yang saya cintai, bernyanyi,” ucapnya pada akhir video persembahan tersebut.

Iklan

Persembahan BCL menerusi virtual showcase tersebut diiringi pemuzik BCLband dan Ronald Stevens pula bertindak sebagai pengarah muzik.

 

(SUMBER/FOTO: YouTube It’s Me BCL)